Dunia

Jururawat Myanmar sembunyi dari junta buka klinik rawat pesakit COVID-19

Tinggalkan pekerjaan di hospital awam selepas kes rampasan kuasa

KAYAH, 22 Jamadilawal 1443H, Isnin – Segelintir jururawat Myanmar yang bersembunyi daripada junta telah membuka klinik sementara untuk merawat pesakit COVID-19, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Mereka juga antara yang berjuang menyeludup ubat-ubatan daripada melepasi pusat pemeriksaan tentera dan sentiasa bersedia melarikan diri ketika berada di barisan hadapan gerakan ketidaktaatan sivil terhadap rampasan kuasa yang telah membunuh lebih 1,300 orang.

Kumpulan hak asasi manusia mendedahkan, tindakan protes terhadap institusi kerajaan menyebabkan banyak hospital beroperasi tanpa kakitangan dan junta telah menangkap serta membunuh ramai pekerja kesihatan yang membantah.

Aye Naing – bukan nama sebenar – mendakwa telah meninggalkan pekerjaannya di sebuah hospital awam sejurus insiden rampasan kuasa tentera dan mula bergerak sebagai sukarelawan di negeri Kayah – wilayah di mana tentera dan pejuang anti-rampasan kuasa berulang kali bertempur – pada Jun lalu.

“Apabila pertempuran bermula, kami perlu lari dan bersembunyi di dalam hutan,” katanya kepada AFP di sebuah klinik yang ditempatkan di sebuah sekolah terbiar berhampiran bandar Demoso.

Selepas gelombang COVID-19 yang dasyat pada bulan Jun dan Julai – di mana kes harian baharu mencecah 40,000 – junta mendakwa jangkitan menurun kepada sekitar 150 sehari dan varian Omicron masih belum muncul di Myanmar.

Di Kayah, kira-kira 85,000 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat keganasan tentera Myanmar, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Aye Naing berkata, kebanyakan pesakit adalah keluarga yang kehilangan tempat tinggal termasuk pejuang dari kumpulan Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF) tempatan – gerakan yang muncul untuk memerangi junta.

“Saya dimaklumkan tidak ramai doktor dan kakitangan perubatan di kawasan ini, dan penduduk meminta perkhidmatan itu.

“Jadi, saya membuat keputusan untuk datang dan cuba dapatkan beberapa bekalan perubatan,” katanya.

Katanya, mereka yang didapati positif COVID-19 akan diberikan paracetamol atau vitamin – satu-satu bekalan ubat yang ditawarkan.

Malah, oksigen yang didermakan juga terpaksa diguna dengan berhati-hati, selain perlu mengisi semula kanister apabila membabitkan perjalanan ke bandar besar terdekat.

“Selepas setiap syif juga, kami perlu menanggalkan pakaian pelindung (PPE) dan membasmi kuman bersama pelitup muka untuk dipakai semula hari berikutnya,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button