Korea Selatan lulus guna pil antivirus Pfizer pertama
Dijangka bantu cegah kemerosotan serius pesakit COVID-19

SEOUL, 22 Jamadilawal 1443H, Isnin – Korea Selatan membenarkan penggunaan kecemasan pil antivirus Pfizer yang pertama seumpamanya diperkenalkan di negara itu, kata Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubatan hari ini.
Korea Selatan memulihkan sekatan pada minggu lalu selepas beberapa siri jangkitan harian baharu yang menyukarkan perkhidmatan perubatan, meskipun kadar vaksinasi bagi individu 18 tahun ke atas di negara itu melebihi 92 peratus.
Rawatan antivirus oral Pfizer yang dikenali sebagai Paxlovid, dijangka membantu mencegah kemerosotan serius pesakit yang dimasukkan ke pusat rawatan atau kuarantin di rumah, kata Menterinya, Kim Gang-lip.
Ubat itu digunakan untuk individu dewasa atau kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas dengan berat melebihi 40kg – yang mempunyai simptom ringan hingga sederhana dan berisiko tinggi mendapat gejala teruk disebabkan penyakit sedia ada.
Kim berkata, satu lagi rawatan coronavirus oral dipanggil molnupiravir – dibangunkan oleh Merck di Amerika Syarikat dan Kanada – turut memohon penggunaan kecemasan awal bulan ini.
Bagaimanapun, kementerian masih mengkaji ekoran tiada maklumat lengkap mengenai keberkesanannya.- Agensi