Berita UtamaDunia

PBB kutuk insiden 35 orang awam Myanmar terbunuh

Tuntut siasatan menyeluruh dengan kadar segera

NEW YORK, 22 Jamadilawal 1443H, Isnin – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk insiden yang mendakwa 35 orang awam terbunuh dan mayat mereka ditemui rentung dalam kejadian tidak berperikemanusian di Myanmar.

Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Martin Griffiths menggesa siasatan menyeluruh dilakukan dengan kadar segera.

“Saya mengutuk keras insiden menyedihkan sehingga berlaku kematian melibatkan orang awam,” katanya.

Pada masa sama, dua petugas misi kemanusiaan, Save The Children dilaporkan hilang selepas kenderaan dinaiki mereka diserang dan dibakar dalam kejadian di negeri Kaya, timur Myanmar.

Kumpulan pemantau dan media tempatan menuduh serangan tersebut dilakukan oleh tentera Junta.

Ketua Eksekutif Save the Children, Inger Ashing berkata, dua kakitangannya yang juga warga Myanmar terperangkap dalam tragedi itu, selain ada pihak mendakwa, kenderaan dinaiki mereka diserang dan dibakar.

“Kami ngeri dengan keganasan terhadap individu tidak bersalah termasuk kakitangan kami, mereka begitu berdedikasi dalam kerja kemanusiaan, menyokong jutaan kanak-kanak seluruh Myanmar,” katanya.

Myanmar berdepan keadaan kacau-bilau selepas rampasan kuasa dan lebih 1,300 terkorban dalam tindakan keras pasukan keselamatan.

Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) digerakkan bagi melawan Junta di seluruh negara, sekali gus mengheret tentera ke kancah pertempuran serta tindak balas keras. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button