Berita UtamaIstimewa

Proses berantai punca bencana banjir tahun ini dahsyat?

Aliran puing ada kuasa pemusnah yang tinggi, penyebab utama banjir luar jangkaan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 22 Jamadilawal 1443H, Isnin – Kemusnahan besar-besaran akibat banjir di beberapa negeri terutama Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka menimbulkan persoalan, sama ada hujan berterusan penyebab utamanya atau terdapat proses berantai (cascading) yang bertanggungjawab menghasilkan bencana dahsyat ini.

Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, peristiwa banjir besar di Kelantan pada 2014, dan banjir ‘kepala air’ di Gunung Jerai 2020 memberi pengajaran penting bahawa hujan lebat dan banjir sahaja tidak mempunyai tenaga yang boleh memusnah prasarana besar dan rumah di dataran banjir. 

Tetapi, apa yang mampu mencetuskan banjir adalah bahan puing – pokok hutan pada cerun yang runtuh ketika kejadian ‘gelinciran tanah’ dan aliran puing, batu batan dan lumpur – yang banyak dibawa arus air banjir, yang mana dilihat mempunyai kuasa pemusnah yang tinggi. 

“Keadaan di Sungai Lui hampir sama seperti fenomena yang berlaku di hulu Sungai Kelantan pada tahun 2014. 

“Ratusan tanah runtuh dan hakisan tebing telah membekalkan puing (kayu kayan dan batu batan) ke dalam air banjir menyebabkan kemusnahan harta benda di luar dugaan,” katanya.

Prof Emeritus Ibrahim berkata, ketika menyertai ‘Tinjauan Kumpulan Ahli Geologi Negara’ ke tapak kejadian tanah runtuh di Sungai Penchala dan banjir besar di Sungai Lui, mereka menemui jentera besar sedang membersihkan kayu kayan di dataran limpah sungai. 

Beliau berkata, sepanjang 500 meter jalan menuju ke Sungai Lui, jalan tersebut dipenuhi kayu kayan yang menjadi penyebab kemusnahan beberapa buah rumah di kawasan ini. 

“Apa yang kami lihat adalah satu daripada mungkin beberapa kejadian ‘aliran puing’ yang berlaku di bahagian hulu Sungai Lui. Puluhan kesan tanah runtuh boleh juga diperhatikan di bahagian cerun bukit sepanjang perjalanan dari Simpang Peras ke Kampung Jawa. 

“Sepanjang Sungai Lui kami dapati banyak puing masih tersangkut di celah pokok, terutamanya di pokok buluh. 

“Ini menandakan bahan puing yang banyak telah dibawa bersama oleh air banjir, dan lumpur serta kayu kayan ini menjadi penyebab utama kemusnahan di luar jangkaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, puing yang tersekat membentuk ‘empangan sementara’ ini juga berkemungkinan adalah punca kenaikan air mendadak, yang kemudiannya pecah menyebabkan luruan air banjir yang besar. 

“Semua fenomena yang kami tafsirkan berdasarkan cerapan lapangan ini perlu diteliti dan disokong dengan kajian lanjutan. Hakikatnya, hujan lebat di kawasan tropika, khususnya di negara kita memang menjadi pencetus utama bencana alam iaitu banjir dan tanah runtuh. Lazimnya, kedua-dua fenomena ini dilihat secara berasingan. 

“Fenomena bencana geologi berantai masih belum diberikan perhatian. Kami berpendapat, semua peristiwa banjir besar atau banjir kuning negara mempunyai kaitan rapat dengan gabungan ke dua-dua fenomena alam ini. 

“Hujan lebat berterusan menyebabkan tanah di kawasan pergunungan tepu air, dan mudah tergelincir. Oleh kerana kuantiti air yang tinggi di hulu lembah sungai, tanah runtuh bertukar menjadi aliran puing, berikutnya menjadi banjir puing dan disusuli dengan banjir lumpur (kuning),” katanya.

Ketika ditanya sama ada pembalakan merupakan salah satu punca banjir teruk, Prof Emeritus Ibrahim berkata, jika pun ada faktor itu sangat kecil dan tidak menyumbang bencana besar ini.

Justeru, beliau melihat bencana yang dikaitkan dengan Banjir Besar Lembah Klang 2021 ini adalah gabungan antara tanah runtuh di Sungai Penchala, aliran puing di hulu Sungai Lui, banjir puing di lembah Sungai Lui dan banjir besar di kebanyakan kawasan rendah lain di Shah Alam dan Klang.

“Jika kita berhajat untuk menangani isu bencana alam secara jangka panjang, kita perlu mengenali punca dan jenis bencana, serta mengambil pendekatan pengurangan risiko bencana secara bermaklum. 

“Setiap peristiwa bencana bukan sekadar kematian, kerugian dan kerosakan harta benda, tetapi di sebaliknya pengajaran untuk hidup harmoni bersama alam, bersama kebesaran ilahi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button