Berita Utama

Video bantuan UN ke Malaysia tidak benar: ATM

Henti buat sebarang andaian tak pasti, tular berita palsu

BANGI, 22 Jamadilawal 1443H, Isnin – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan video tular berdurasi seminit berhubung bantuan banjir oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Malaysia.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, video yang ditular melalui Facebook peribadi atas nama Jong Senow dan Nazimah Ibrahim, masing-masing pada 24 dan 7 Disember adalah tidak benar.

Menerusi video berkenaan memaparkan pergerakan beberapa trak tiga tan berlogokan United Nation (UN) serta berwarna putih atas keterlibatan pertubuhan antarabangsa itu membawa bantuan banjir kepada Malaysia.

“Dengar kata UN dah masuk nak bagi bantuan banjir apabila dapat tahu NADMA dan kerajaan Malaysia gagal mengatasi masalah banjir. Depa laju prihatin dan ambil cakna apabila mengetahui misi bantuan and menyelamat di Malaysia didokong dari rakyat le rakyat,” dakwa pemilik akaun Jong Senow.

“Apa gang United Nations ni buat dalam negara kita? Rasa tak sedap hati aja ni. Katanya di Kampung Sg Lui, Hulu Langat? Sebelum ini kata gang UN terlihat di Perak,” dakwa pemilik akaun Nazimah Ibrahim.

Bagaimanapun, Affendi menjelaskan, paparan video itu adalah proses Final Acceptance Test (FAT) yang dilaksanakan oleh ATM sebelum kenderaan terbabit diaturgerakkan ke Lubnan untuk kegunaan Kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

“Masyarakat diminta agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button