Berita Utama

Tauliah mengajar agama 32 aktivis politik di Selangor ditarik balik

Sultan Sharafuddin tak mahu Islam jadi bahan politik di surau dan masjid

BANGI, 23 Jamadilawal 1443H, SelasaTauliah mengajar agama Islam 32 aktivis politik di Selangor ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata, penarikan semula dibuat sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak terutama di masjid dan surau.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, Sultan Sharafuddin tidak perkenan tauliah mengajar itu diberikan kepada mana-mana aktivis politik bagi menjaga kesucian Islam di negeri ini.

“Baginda bimbang tindakan itu disalah guna demi kepentingan parti politik yang akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam.

“Sultan Sharafuddin menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di Selangor yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selaras dengan titah Sultan Sharafuddin, Jawatankuasa Tauliah MAIS menyemak semula semua tauliah yang sudah dikeluarkan kepada pemegang tauliah berkenaan.

“1 Disember lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan Surat Penarikan Balik Tauliah Mengajar Agama Islam kepada 32 pemegang tauliah yang aktif atau berjawatan dalam parti politik.

“Namun ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam.

“Dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan. Pengecualian itu adalah selaras dengan titah Sultan Selangor,” jelasnya.

Abdul Aziz menjelaskan, mengajar agama Islam tanpa tauliah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Katanya, sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, mereka yang bertindak mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam merupakan kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button