Berita Utama

Amaran hujan berterusan di 5 negeri

Negeri Semenanjung dijangka terkesan sehingga 1 Januari 2022

BANGI, 23 Jamadilawal 1443H, Selasa – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) di lima negeri termasuk Sabah, sehingga 2 Januari 2022.

Amaran kategori kuning itu dikeluarkan susulan luruan monsun yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga 3 Januari 2022.

Menerusi kemas kini jam 2 petang tadi, amaran hujan berterusan sehingga 2 Januari dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Sabah, membabit Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

Ketua Pengarah METMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran sama turut dikeluarkan di negeri-negeri Semenanjung membabitkan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) sehingga 1 Januari 2022.

Turut terkesan, Terengganu, beberapa kawasan di Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta daerah Mersing, Johor.

“Angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.

“Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah diramal berterusan sehingga 2 Januari 2022,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button