Demi penduduk Gaza, Qatar- PA setuju bekal gas Israel ke loji janakuasa
Lebih 16 tahun penduduk menderita defisit bekalan elektrik kronik

GAZA, 23 Jamadilawal 1443H, Selasa – Qatar, Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan syarikat elektrik Gaza bersetuju memajukan projek jangka panjang untuk membekalkan gas dari Israel ke loji kuasa di Semenanjung Gaza.
Wakil Qatar ke Semenanjung Gaza, Mohamad al Emadi dalam kenyataan berkata, negaranya telah menandatangani memorandum untuk melabur AS$60 juta bagi mewujudkan saluran paip untuk menghantar gas Israel ke loji janakuasa Gaza.
Menurut kenyataan itu, persetujuan muktamad mengenai inisiatif itu – Gaza untuk Gaza – belum dicapai dan masih memerlukan tempoh beberapa bulan atau tahun lagi.
Inisiatif – yang disifatkan The Times Israel sebagai usaha diplomatik yang kompleks – turut membabitkan Hamas, PA, Qatar, Mesir dan Kesatuan Eropah (EU).
Gaza menderita defisit bekalan elektrik yang kronik selama lebih 16 tahun sejak serangan pengganas Israel ke atas loji kuasa utamanya yang menggunakan bahan api diesel import.
Projek itu bertujuan untuk menggantikan bahan api diesel dengan gas dari Israel.
Peralihan Gaza daripada bahan api diesel kepada gas asli dilihat secara meluas sebagai penyelesaian penting kepada krisis elektrik di kawasan itu.
Gaza mempunyai sejumlah besar rizab gas asli, tetapi Israel telah menghalang rakyat Palestin daripada menggunakan gas itu.
Di bawah cadangan terbabit, gas asli akan mengalir dari medan gas Leviathan Israel yang terletak di luar pantai Gaza.
Sementara, EU dan Qatar akan membayar untuk saluran paip dan gas berkenaan. – Agensi