Berita Utama

Gesa kerajaan tambah aset misi menyelamat

Ceupacs terkilan dakwaan pasukan keselamatan lambat salur bantuan

BANGI, 23 Jamadilawal 1443H, Selasa – Penambahan aset baharu pasukan keselamatan yang bersesuaian untuk misi menyelamat perlu diberi perhatian.

Aset dan peralatan yang lengkap serta sesuai diyakini boleh melaksanakan kerja-kerja menyelamat dengan lebih berkesan tanpa mengundang risiko kepada anggota keselamatan.

Presiden Kongres Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya melihat anggota keselamatan yang melakukan tugas menyelamat menggunakan pakaian yang tidak sesuai dengan operasi.

“Begitu juga dengan jumlah anggota yang tidak mencukupi dan ia telah lama tidak diberikan kelulusan oleh kerajaan untuk ditambah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Adnan menambah, faktor kepadatan penduduk di Lembah Klang menyaksikan anggota keselamatan tidak mencukupi untuk digerakkan ke semua kawasan.

“Bayangkan di sesebuah taman di bandar mempunyai lebih daripada 1,000 penduduk, berbeza di kawasan kampung yang hanya mempunyai ratusan penduduk,” katanya.

Perkara itu perlu dikaji semula dan diberikan perhatian serius.

Beliau pada masa sama terkilan dengan kecaman segelintir masyarakat yang mengatakan pasukan keselamatan lewat menyalurkan bantuan terutama melibatkan kejadian banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang.

“Banjir luar biasa di Lembah Klang telah menyukarkan proses menyelamat.

“Apatah lagi kepadatan penduduk yang mencecah jutaan orang mengakibatkan keupayaan menyelamat menjadi terbatas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button