Berita Utama

Guna wang rizab negara bantu rakyat, jangan ‘ajar’ meminjam

‘Tak perlu lagi fikir KWSP, kita gesa kerajaan keluar duit untuk rakyat’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Jamadilawal 1443H, Selasa – Desakan serta cadangan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000, disifatkan sebagai tidak cukup praktikal. 

Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan Parti BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, jika dilihat kepada data yang dikeluarkan KWSP, secara dasarnya simpanan pencarum kini semakin menipis.

Katanya, selepas tiga kali membenarkan ahli mengeluarkan dana persaraan di bawah program i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, kira-kira 6.1 juta ahli KWSP kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka. 

Daripada 6.1 juta itu, 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun, katanya.

“Melalui data yang dikeluarkan KWSP juga menyatakan pemohonan paling ramai membuat pengeluaran adalah dalam kalangan Bumiputera. 

“4.4 juta ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dan dua juta mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun KWSP mereka,” katanya.

Bimbang dengan keadaan tersebut, Hazwan berkata, orang ramai sebaliknya perlu mengubah desakan daripada meminta membenarkan pengeluaran wang KWSP, kepada menggesa kerajaan mengeluarkan duit untuk rakyat.

Beliau berkata, adalah lebih baik kerajaan mengeluarkan wang rizab negara daripada menyarankan rakyat untuk menambah beban dengan membuat pinjaman baharu.

“Kita perlu mendesak kerajaan untuk berbelanja lebih untuk rakyat. Saya mengesyorkan kerajaan untuk mengambil sedikit dari wang rizab negara yang besar itu. 

“Menurut rekod terkini rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) pada 30 November berjumlah AS$116.7 bilion atau RM495.641 bilion dan meningkat sedikit berbanding AS$116.5 bilion atau RM492.795 bilion pada 15 November lalu,” katanya. 

Katanya, tidak salah untuk kerajaan mengambil sedikit dari wang rizab negara ini membantu rakyat yang terkesan, baik disebabkan malapetaka banjir baru-baru ini mahupun kesan kelembapan ekonomi akibat pandemik. 

“Bukannya membiarkan rakyat menghabiskan wang simpanan persaraan hari tua atau menggalakkan rakyat berhutang dengan bank seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. 

“Kerajaan jangan takut berbelanja untuk membantu rakyat dalam situasi rakyat tertekan sekarang ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button