Berita Utama

Jika UMNO tak ego Muafakat Nasional masih boleh bertahan

Keputusan PAS Pusat penentu hala tuju penyatuan ummah

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Jamadilawal 1443H, SelasaKeputusan PAS Pusat berhubung hala tuju dan masa depan bersama UMNO mungkin menjadi titik permulaan penyatuan semula Muafakat Nasional (MN) di peringkat negeri.

Situasi itu juga dilihat bakal membawa perubahan besar kepada senario politik negara.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood yakin ramai pihak ternanti-nanti status Muafakat Nasional – yang makin tenggelam – dan pasti mahu mengetahui apa keputusan PAS Pusat.

“Keputusan itulah yang akan menjadi petunjuk sama ada jangka hayat MN masih boleh disambung atau terus berkubur secara sah, memandangkan jangka hayat MN kini berada di hujung tanduk.

“Tidak mustahil keputusan yang dibuat PAS Pusat akan menghidupkan semula MN dan penyatuan orang Melayu semakin kukuh,” katanya katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebaliknya jika keputusan PAS Pusat menoktahkan perjuangan selama ini, ia memberi peluang kepada parti-parti lain untuk mendominasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi, katanya.

Prof Nik Kamal berkata, kepincangan MN berpunca daripada sikap UMNO yang tidak boleh menerima keberadaan BERSATU dalam kerjasama berkenaan.

“Dalam situasi tersebut, seharusnya UMNO perlu turunkan ego kerana MN ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu, tapi sebaliknya berlaku,” katanya.

Beliau berpandangan, sekiranya kerjasama PAS dan UMNO di teruskan di peringkat negeri, ia memberi peluang berganda kepada UMNO.

“UMNO sebenarnya mempunyai agenda tersendiri di Kelantan memandangkan pimpinan PAS di negeri itu melebihi 30 tahun sejak 1990-an lagi.

“Keadaan menjadikan UMNO berharap memiliki kerusi di peringkat negeri sekali gus dapat bersama menerajui negeri,” tegasnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS.

Mereka kini sepakat memutuskan untuk menunggu jawapan daripada PAS Pusat berkaitan hal berkenaan.

Muafakat Nasional ditubuhkan pada 14 September 2019 oleh UMNO dan PAS atas alasan mahu mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa Melayu.

Bagaimanapun, peranan dan fungsi Muafakat Nasional kini terus menjadi persoalan dan seolah-olah dilihat seperti hilang punca.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button