Berita UtamaDunia

Polis tahan warga Arab Saudi bantu seludup masuk wartawan Israel ke Makkah

Tamari mengaku masuk ke Makkah tanpa kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi

RIYADH, 23 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Polis Arab Saudi mengumumkan penahanan seorang warganegara dan merujuknya ke Pendakwa Raya selepas didakwa memudahkan ketibaan seorang wartawan Israel-Amerika ke Makkah, tapak paling suci Islam di mana hanya orang Islam dibenarkan masuk.

Akhbar Arab Saudi melaporkan bahawa polis Makkah telah merujuk seorang warganegara kepada Pendakwa Raya, yang terlibat dalam memindahkan dan memudahkan kemasukan seorang wartawan (bukan Islam) yang memegang kerakyatan Amerika Syarikat (AS).

Memasuki kota Makkah melalui jalan dikhaskan untuk orang Islam adalah pelanggaran jelas undang-undang yang melarang masuk ke Makkah bagi orang bukan Islam.

Ia memberi amaran ‘mereka yang datang ke kerajaan mesti menghormati undang-undang dan mematuhi keperluan mereka, terutamanya berkenaan dengan Dua Masjid Suci dan tapak suci, dan bahawa sebarang pelanggaran seperti ini dianggap sebagai jenayah yang tidak akan diterima dan hukuman dikenakan kepada pelakunya berdasarkan peraturan berkaitan.’

Ahad lalu, saluran berita Israel 13 menyiarkan laporan oleh Gil Tamari, koresponden hal ehwal luar negerinya yang berkata, dia adalah orang pertama melengkapkan laporan berita dalam bahasa Ibrani di tapak paling suci Islam.

Pada awal laporannya yang disiarkan saluran itu, Tamari mengakui dia telah menyeludup masuk ke Makkah tanpa kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi.  

Dia berkata: “Kota ini ditutup kepada orang bukan Islam dan tidak mungkin untuk memasukinya.”  

Tambahnya, pemandu yang membawanya ke sana tidak menyedari bahawa dia adalah warga Israel kerana mereka bercakap hanya dalam bahasa Inggeris.

Laporan dan video Tamari dalam pemanduan melalui Makkah berlaku beberapa hari selepas Presiden AS, Joe Biden mengambil penerbangan tanpa henti pertama dari negara haram Israel ke Arab Saudi.  

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan sehari sebelumnya bahawa ia membuka ruang udara kepada syarikat penerbangan dan penerbangan Israel dari Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button