Berita Utama

Kuarantin wajib pengembara luar negara mesti diteruskan elak Omicron merebak

Negara belum ada pengalaman yang cukup tangani varian baharu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Jamadilawal 1443H, Selasa – Kuarantin wajib bagi pengembara luar negara terutama yang berada dalam senarai negara diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini, tetap perlu diteruskan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah berkata, langkah itu perlu susulan kebimbangan penularan COVID-19 varian Omicron (B.1.1.259) di dalam negara.

Katanya, kebimbangan itu bukan sahaja berdasarkan ciri-ciri Omicron yang menular dengan cepat, tetapi juga kerana negara tidak mempunyai pengalaman yang cukup terhadap varian baharu ini. 

“Jadi apa salahnya kita ambil langkah awal. Kita kurangkan keupayaan mereka yang pulang dari luar negara daripada menularkan kes kepada orang lain.

“Satu lagi perkara adalah kerana kita sebenarnya tidak tahu bila masa yang paling kemuncak untuk varian Omicron menjangkiti orang lain. Kerana data belum cukup lagi. Kalau kita belum pasti, kita perlu amalkan kuarantin ini,” katanya dalam program Dimensi yang disiarkan TV Pertiwi, malam ini.

Bercakap mengenai sentimen dan kebimbangan orang ramai mengenai Arab Saudi susulan laporan jemaah umrah Malaysia yang positif varian itu, beliau berkata, ia tidak bererti hanya negara itu mempunyai risiko tinggi untuk menyebabkan penularan varian Omicron.

“Sebenarnya kita kurang bernasib baik, kerana sentimen masyarakat kita. Kenapa nak gembar gembur umrah sahaja. Ia tidak memberikan gambaran bahawa Arab Saudi yang bermasalah. Walaupun kes ada dikenal pasti dari sana,” katanya.

Beliau mengakui buat masa sekarang keadaan di negara ini masih terkawal kerana gejala akibat varian Omicron tidak teruk. 

“Kita juga tiada mencatatkan jumlah kematian tinggi oleh varian Omicron,” katanya.

Kini terdapat 18 negara berisiko tinggi kes Omicron termasuk Australia, India, Arab Saudi, UK dan AS.

Terdahulu, KKM memaklumkan, pelancong dari negara berisiko tinggi ini mesti mengambil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) dua hari sebelum berlepas. Satu lagi ujian akan dilaksanakan semasa ketibaan dan pengembara juga akan diberikan penjejak digital.

Mereka yang diberi vaksin sepenuhnya mesti menjalani kuarantin tujuh hari manakala yang tidak divaksinasi mesti diasingkan selama 10 hari.  

Pelancong boleh memohon untuk menjalani kuarantin mereka di rumah.

Pautan Dimensi:

https://fb.watch/aaRnpVESBQ/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button