Dunia

Lonjakan kes COVID-19, China terus arah bandar Xi’an berkurung

Sekatan ketat, penduduk mengadu kurang bekalan makanan

BEIJING, 23 Jamadilawal 1443H, Selasa – Ratusan ribu lagi penduduk China diarahkan berkurung di rumah hari ini, menerusi langkah sekatan ketat oleh pihak berkuasa bagi mengawal lonjakan kes jangkitan COVID-19 yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh 21 bulan.

China – negara yang mula muncul virus itu dua tahun lalu – telah mengikut strategi ‘sifar COVID-19’ menerusi sekatan sempadan yang ketat dan bersasar serta kuarantin, ketika Beijing bersiap sedia untuk mengalu-alukan ribuan pelawat luar sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Februari.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terpaksa berdepan peningkatan semula kes jangkitan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan 209 kes dilaporkan hari ini – jumlah harian tertinggi sejak Mac tahun lalu.

Lonjakan itu – walaupun rendah berbanding di Eropah dan Amerika Syarikat – telah mendorong pihak berkuasa mengenakan sekatan paling ketat di bandar utara Xi’an, yang mempunyai 13 juta penduduk.

Malah, bandar berdekatan iaitu di Yan’an juga berdepan tindakan sama apabila diarahkan menutup perniagaan dan menggesa ratusan ribu penduduknya berkurung di rumah.

Bandar Xi’an telah menyediakan 4,400 tapak persampelan dan mengerahkan lebih 100,000 orang menjalani saringan.

Arahan pengurungan itu bagaimanapun ‘menghimpit’ kebanyakan rakyat yang mula berdepan kekurangan bekalan makanan apabila pihak berkuasa menetapkan hanya seorang ahli isi rumah untuk setiap tiga hari keluar membeli barangan runcit.

Ramai penduduk di bandar berkenaan terpaksa menggunakan media sosial untuk meminta bantuan dalam mendapatkan makanan dan keperluan asas lain.

Pihak berkuasa mendakwa bahawa bekalan makanan kekal stabil kerana mengekalkan kawalan ketat ke atas pergerakan masuk dan keluar dari Xi’an.

Selain itu, pelajar juga dilarang untuk meninggalkan asrama universiti melainkan untuk urusan penting tertentu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button