Berita UtamaDunia

Parlimen Libya enggan tetap tarikh baharu pilihan raya presiden

Jawatankuasa Parlimen syor strategi baharu, lebih realistik

TRIPOLI, 23 Jamadilawal 1443H, Selasa – Jawatankuasa Parlimen Libya enggan menetapkan tarikh baharu bagi pilihan raya presiden pertama negara itu selepas dibatalkan minggu lalu di tengah-tengah pelbagai pertikaian.

Pilihan raya itu pada asalnya dijadualkan pada Jumaat lalu, namun dua hari sebelum itu, jawatankuasa Parlimen mengumumkan mustahil untuk mengadakan pengundian tepat pada masa.

“Selepas berunding dengan laporan teknikal, kehakiman dan keselamatan, kami memaklumkan agak mustahil mengadakan pilihan raya pada 24 Disember 2021 yang diperuntuk oleh undang-undang pilihan raya,” kata pengerusi jawatankuasa itu minggu lalu kepada Speaker Parlimen.

Pilihan raya yang dijadualkan sebelum ini dilakukan melalui pelan hala tuju yang disokong PBB – yang membayangkan pilihan raya Parlimen dan presiden serentak pada hari kemerdekaan Libya – 24 Disember.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (HNEC) negara itu, yang ditugaskan mengendalikan kepraktisan mana-mana undi, mencadangkan pilihan raya itu diteruskan pada 24 Januari.

Bagaimanapun semalam, jawatankuasa itu mengumumkan bahawa ia akan berisiko untuk menetapkan tarikh baharu pada peringkat ini, menyebabkan nasib pilihan raya tidak diketahui.

Dalam laporannya, jawatankuasa Parlimen berkata, tarikh pada Januari dipilih berdasarkan pertimbangan ‘politik’.

Jawatankuasa Parlimen turut mengesyorkan meletakkan ‘strategi baharu, realistik dan terpakai dengan peringkat yang ditentukan, daripada menetapkan tarikh baharu serta mengulangi kesilapan yang sama,” lapor AFP. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button