Berita Utama

Kes sekolah vernakular: Mahkamah tolak hujah, plaintif akan fail rayuan

Bawa ke peringkat tertinggi, bincang mengenai Perkara 152 Perlembagaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR, 24 Jamadilawal 1443H, Rabu – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular tidak bercanggah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, mahkamah berpendapat walaupun bahasa Melayu adalah bahasa nasional yang dipelihara di bawah Perkara 152, tetapi pengajaran pendidikan di sekolah bukan urusan awam seperti yang diputuskan dalam kes Universiti Merdeka di Mahkamah Persekutuan.

Atas dasar itu, mahkamah telah membezakan dan tidak menerima pakai keputusan Universiti Merdeka kepada kes sekolah vernakular.

Katanya, mahkamah juga menerima pakai dan mengambil kira bahawa terdapat pelbagai laporan-laporan pendidikan yang disediakan sejak sebelum merdeka sehingga selepas merdeka.

“Walaupun mahkamah berpendapat bahawa laporan-laporan pendidikan yang disediakan selama tempoh berpuluh tahun ini menjurus kepada menasihatkan hasrat kerajaan untuk mengadakan satu sistem pendidikan yang sama, tetapi perkara itu tidak dizahirkan di dalam Perlembagaan,” katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah hari ini.

Justeru katanya, ia berbalik kepada kerajaan untuk menentukan hala tuju sama ada bahasa pendidikan persekolahan sepatutnya menjadi sumber utama perpaduan rakyat.

“Dan jika itulah sepatutnya… menjadi sumber utama perpaduan maka sekarang kembali kepada gelanggang kerajaan. Mahkamah membuat keputusan kerajaan perlu memberi respon positif demi kesejahteraan negara dan kemakmuran rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Haniff memaklumkan bahawa pihak plaintif akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Pihak kami dimaklumkan oleh anak guam kami yang telah memfailkan tindakan bahawa walau apa sekalipun keputusan pada pagi tadi, perkara ini hendaklah dibawa sampai ke tahap tertinggi kerana kita berbincang mengenai Perkara 152 peruntukan Perlembagaan.

“Maka perkara seperti ini tidak boleh ditinggalkan ataupun diselesaikan melalui keputusan setakat di Mahkamah Tinggi sahaja.

“Besar kemungkinan dalam masa terdekat kami akan mengambil arahan yang muktamad untuk memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan,” katanya.

Terdahulu, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak hujah yang dikemukakan gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Keempat-empat pertubuhan itu memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) Perlembagaan.

Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan Perlembagaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button