Berita Utama

Ambil iktibar pengalaman bencana banjir baiki kekurangan: Agong

Nasihat rakyat siap sedia hadapi kemungkinan episod banjir besar

BANGI, 24 Jamadilawal 1443H, Rabu – Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini untuk membaiki kelemahan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya urusan pasca banjir.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menasihati agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi serta penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

Menerusi kenyataan Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan dan keyakinan persediaan awal dengan disusuli tindakan yang terancang, operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka yang berada di kawasan kepadatan tinggi dan pedalaman, dapat dilaksanakan dengan pantas serta berkesan.

Baginda turut menasihati rakyat, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur, Johor dan Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku episod banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.

Titah nasihat Seri Paduka Baginda itu susulan amaran Tahap Waspada (Kuning) iaitu hujan berterusan yang akan dialami beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Januari 2022, seperti dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia kelmarin.

“Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir untuk peka terhadap ramalan dan amaran yang telah dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.

“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button