Berita Utama

Cukuplah YB, berhentilah main wayang

Bukan semua perkara perlu diviralkan

SEKARANG bukan masa untuk memegang penyembur air, penyapu dan lain-lain dalam misi bantuan mangsa banjir. Serah kepada yang pakar.

Kehadiran YB sudah mencukupi, memantau dan merancang apa yang patut. Adegan memegang peralatan tersebut, kemudian viralkan, cukup memualkan.

Jika benar-benar ikhlas bantu, duduk di sana seharian, pantau dan rancang sebaik-baiknya bantuan, mengikut kepakaran masing-masing.

Gembelingkan seluruh kekuatan dan kepakaran yang ada.

Tidak perlulah membuat pelancaran misi bantuan banjir di hotel.

Tidakkah lebih baik, duit pelancaran itu ditambah ke dalam dana banjir.

Apabila buat pelancaran di hotel, begitu banyak kos terlibat, sewa tempat, protokol dan lain-lain.

Saya sarankan mereka yang bergelar YB atau wakil rakyat ini:

Pertama, pulanglah ke kawasan. Rancang dan pantau keadaan di sana, tidak perlulah ambil gambar sedang mencuci atau membantu mangsa banjir. Rakyat di sana lebih tahu kehadiran YB di situ.

Kedua, bukan semua perkara perlu diviralkan. Kadang kala gambar itu makan tuan. Jadilah seperti wira tidak didendang. Saya cukup terkesan dengan wira-wira tidak didendang yang terkorban kerana keikhlasan membantu mereka yang memerlukan.

Contohilah, Allahyarham Ahmad Zaki Mahbar yang juga Komandan Amal Kawasan Mersing merangkap Ketua Kor Marin Jabatan Amal Malaysia, yang terkorban dalam misi bantuan banjir.

Allahyarham dalam misi bantuan dibawa ke Hospital Banting selepas pitam dan tidak sedarkan diri.

Allahyarham hadir ke Selangor untuk bantu misi pembersihan pasca banjir di Bukit Changgang, Labohan Dagang dan kawasan sekitar.

Ahli keluarga saya terlibat dengan NGO, ramai yang pergi, tetapi kami diamkan sahaja. Tuhan sahaja yang tahu.

Ketiga, jika YB berada di kawasan banjir, tidak perlulah terlalu protokol sangat. Kadang kala ia menyusahkan daripada memudahkan. Jika menaiki kereta itu menyusahkan, naik motosikal sahaja.

Itu yang selalu saya kata, kadang kala orang-orang sekeliling menteri ini yang lebih sudu daripada kuah. Mereka yang melebih-lebih sehingga menyusahkan menteri. Carilah mereka yang ikhlas dalam menasihat, bukan yang mengampu.

 Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button