Berita Utama

Kes vernakular: BERJASA sokong usaha plaintif kemuka rayuan demi perpaduan

Sangat bercanggah dengan perpaduan jika dasar masih dukung vernakular

BANGI, 24 Jamadilawal 1443H, Rabu – Parti BERJASA menyokong usaha pihak plaintif mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung kes keabsahan sekolah vernakular di sisi Perlembagaan. 

Terdahulu, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak hujah dikemukakan empat plaintif iaitu gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Dalam keputusan itu, mahkamah memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular tidak bercanggah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim berpendapat, walaupun bahasa Melayu adalah bahasa nasional yang dipelihara di bawah Perkara 152, tetapi pengajaran pendidikan di sekolah bukan urusan awam seperti yang diputuskan dalam kes Universiti Merdeka di Mahkamah Persekutuan.

Maka, penggunaan bahasa selain Bahasa Malaysia tidak bertentangan dengan Perlembagaan kerana sekolah venakular bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan.

Justeru berdasarkan keputusan hari ini, pihak plaintif merancang dengan pasukan peguam untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan. 

Menyokong penuh hasrat plaintif, Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berharap pihak pengadilan kelak diberikan kefahaman untuk melihat isu vernakular sebagai penting demi masa depan generasi negara.

“Satu persoalan yang saya tertanya-tanya berhubung keputusan mahkamah dalam kes keabsahan sekolah vernakular hari ini, apakah implikasi sekolah vernakular diisytihar bukan badan berkuasa awam melalui keputusan Mahkamah Tinggi?

“Jika sekolah-sekolah ini tidak tertakluk untuk menggunakan bahasa Melayu, adakah ia juga boleh membawa maksud dana awam atau wang negara melalui belanjawan juga tidak sepatutnya disalurkan kepada sekolah-sekolah ini?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, apabila menyentuh mengenai isu perpaduan, adalah sangat bercanggah sekiranya dasar dan polisi negara masih mendukung sekolah vernakular.

Ini kerana, ia terbukti memisahkan anak-anak bergaul daripada kecil dengan rakan berlainan bangsa, sejak usia mereka 7 tahun sehingga belasan tahun, katanya.

“Kita tidak ada masalah untuk sesiapa belajar bahasa Cina, Tamil atau lain-lain. Tetapi biarlah dalam satu platform yang sama, tidak terpisah-pisah dinding dan bumbung mereka.

“Biarlah anak-anak kita faham bahawa tanah yang dipijak serta langit yang dijunjung ini mempunyai akar identiti nasional yang satu, iaitu semua rakyatnya akur bahawa bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan dan wajar diguna, difahami serta fasih lisan oleh semua anak generasi Malaysia,” katanya.

Keempat-empat plaintif sebelum ini memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah peruntukan 152(1)(a) Perlembagaan.

Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button