Berita Utama

Pantai Timur, Johor dijangka banjir bermula Jumaat ini

Penduduk diminta berwaspada, peka arahan pihak berkuasa

KUALA LUMPUR, 24 Jamadilawal 1443H, Rabu – Negeri Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang – serta Johor dijangka akan mengalami banjir bermula Jumaat dan Sabtu ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, ramalan itu dibuat susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

“Banjir dijangka berlaku di Kelantan bermula jam 8 malam 31 Disember ini di Lembangan Sungai Kelantan, membabitkan daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

“Selain itu, banjir turut dijangka berlaku di Lembangan Sungai Golok membabitkan daerah Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar berisiko banjir.

“Pada masa sama, banjir dijangka berlaku di Terengganu membabitkan Lembangan Sungai Besut di daerah Besut dan Lembangan Sungai Terengganu membabitkan Terengganu dan kawasan sekitar berisiko banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala bagi Pahang pula, JPS menjangkakan banjir bermula 8 pagi Sabtu ini, membabitkan Lembangan Sungai Pahang di daerah Maran, Temerloh dan Jerantut, selain di Lembangan Sungai Kuantan membabitkan daerah Kuantan (Sungai Lembing); Lembangan Sungai Rompin membabitkan daerah Rompin serta kawasan sekitar berisiko banjir.

Sementara di Johor, banjir turut dijangka berlaku Sabtu ini jam 8 malam di Lembangan Sungai Mersing membabitkan daerah Mersing serta kawasan sekitar berisiko banjir.

Susulan perkembangan itu, JPS dalam kenyataannya, meminta semua penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan yang dijangka banjir supaya berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

“Penduduk empat negeri itu diminta mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui sesawang publicinfobanjir.water.gov.my; Facebook, PublicInfoBanjir dan Twitter@JPS_Infobanjir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button