Berita Utama

PKP: Benar operasi perniagaan elak lebih ramai hilang kerja

Kerajaan benarkan 38 jenis perniagaan termasuk bukan 'essential' beroperasi

PUTRAJAYA, 25 Ramadan 1442H, Jumaat – Keputusan kerajaan membenarkan 38 jenis perniagaan termasuk bukan ‘essential’ beroperasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan memastikan kelangsungan perniagaan dan mengelakkan lebih ramai kehilangan pekerjaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata walaupun ada perniagaan bukan ‘essential’, ia perlu dibenarkan terus beroperasi supaya pekerja mereka mendapat upah atau gaji untuk menyara kehidupan.

“Walaupun kedai perabot itu bukan essential, jika kita tidak benarkan mereka beroperasi ia akan menjejaskan perniagaan tersebut dan secara tidak langsung nasib pekerja mereka juga akan terkesan.

“Kedai barang kemas itu mungkin bukan essential tetapi pekerjaan essential kepada pekerja kerana mereka memerlukan gaji untuk menyara kos hidup mereka dan sebagainya, dan lebih-lebih lagi sekarang ini kita nak menyambut perayaan.

“Sebab itu selepas kami memikirkan sedalam-dalamnya, kami harus melihat dari sudut memastikan kelangsungan perniagaan,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Jualan Prihatin Raya, di sini hari ini.

Nanta berkata tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dalam kalangan sektor perdagangan pengedaran juga merupakan faktor utama kerajaan membenarkan sektor itu terus beroperasi semasa PKP.

Menurutnya, daripada 528,581 premis yang diperiksa hingga 5 Mei lepas, 98.36 peratus atau 520,028 patuh pada SOP, 597 premis atau 0.11 peratus diberi amaran dan hanya 178 premis atau 0.03 peratus dikenakan kompaun.

“Yang penting dari tahun lepas hingga sekarang, kita dapati ada kepatuhan kepada SOP yang amat tinggi dalam kalangan sektor perdagangan pengedaran dan sebab itu kami membenarkan 38 jenis perniagaan beroperasi,” katanya.

Semalam, KPDNHEP mengumumkan sektor perdagangan pengedaran seperti peruncitan, pemborongan dan pengedaran boleh beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. Antara jenis perniagaan yang dibenarkan ialah kedai antik, kedai buku dan alat tulis, kedai bunga atau nurseri, kedai peralatan sukan dan kedai tembakau.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di beberapa daerah di Selangor bermula 6 hingga 17 Mei depan, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak pula dikenakan PKP bermula 7 hingga 20 Mei ini.

Mengenai Jualan Prihatin Raya, Nanta berkata kementerian mengadakan kerjasama strategik dengan beberapa syarikat pembekal utama untuk menawarkan barangan keperluan pada harga yang sangat berpatutan dan jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Antara barangan yang dijual pada program itu ialah ayam, telur, ikan, gula, minyak masak, tepung, beras, sayur-sayuran dan pelbagai jenis barangan keperluan yang lain.

“Pada jualan ini, ayam seekor dijual dengan harga RM8 manakala minyak masak peket sekilogram pula dijual dengan harga RM2 sepeket, ini menunjukkan memang harga itu lebih murah daripada pasaran,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button