Berita UtamaIstimewa

‘Silap pemimpin dahulu biarkan sekolah vernakular wujud’

Tiada bahasa lain boleh ganti kedudukan bahasa Melayu

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Jamadilawal 1443H, Khamis – Malangnya apabila sekolah vernakular – yang jelas menjadi punca tidak tercapainya perpaduan antara kaum masih wujud hingga sekarang.

Tidak dinafikan, kewujudan sekolah vernakular ini disebabkan salah percaturan daripada pemimpin lama yang tidak memperjuangkan bahasa kebangsaan.

Lebih malang, kerajaan pula dilihat seolah-olah membiarkan sistem pendidikan negara ‘hancur’ angkara desakan pihak-pihak berkepentingan lain, kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hassan Mad.

“Tidak mustahil bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara akan hilang identiti sekiranya tidak diperjuang bersungguh-sunguh.

“Sepatutnya dalam apa jua keadaan, bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa pengantara dan wajib digunakan termasuk di sekolah vernakular. Tiada bahasa lain yang boleh menggantikan kedudukannya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, yang memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Hormat dengan keputusan mahkamah, beliau bagaimanapun percaya kewujudan vernakular ini kesan daripada kesilapan pemimpin negara terdahulu yang terlalu mengamalkan pendekatan ‘pejam mata’ bagi kepentingan diri dan politik.

Mungkin ini juga kesan daripada salah percaturan daripada pemimpin lama yang tidak memperjuangkan nasib bahasa kebangsaan, katanya.

“Dahulu masa pemimpin buat salah tiada yang berani menegur dan hari ini generasi baharu yang menerima kesan daripada perbuatan tersebut,” katanya.

Beliau tidak menafikan ini juga kesan daripada kelemahan ahli politik yang terlalu bagi muka kepada pihak lain semata-mata mahu menjaga ‘hubungan’.

Semua itu dibuat semata-mata tidak mahu kehilangan kuasa dan hilang undi, katanya.

Semalam, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Nazlan berkata, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan berdasarkan latar belakang sejarah serta perundangan Perkara 152 (bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan).

Ketika ini terdapat lebih 1,800 buah sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara merangkumi lebih 500,000 pelajar pelbagai bangsa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button