Berita Utama

346 polis antara penjawat awam ditahan atas kesalahan berkaitan dadah

Statistik penangkapan semakin berkurangan sejak 2016

KUALA LUMPUR, 25 Jamadilawal 1443H, Khamis – Seramai 346 pegawai dan anggota polis merupakan antara 804 penjawat awam yang ditahan atas kesalahan berkaitan dadah tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin berkata, setakat 30 November lepas, penjawat awam yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terdiri daripada 346 anggota polis, 104 anggota Angkatan Tentera, 14 lagi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan 340 daripada agensi dan jabatan kerajaan yang lain.

“Statistik menunjukkan jumlah anggota dan pegawai polis yang ditahan semakin berkurangan sejak 2016,” katanya pada sidang media, hari ini.

Jumlah tangkapan membabitkan penjawat awam atas kesalahan dadah tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu, di mana 1,042 ditahan.

“Jumlah anggota dan pegawai polis yang ditahan pada tahun ini juga menunjukkan pengurangan di mana 408 telah ditangkap pada tahun lepas.

“Sejak 2016, seramai 6,671 penjawat awam telah ditahan kerana kesalahan dadah,” katanya.

Razarudin berkata, polis melalui pelbagai jabatan termasuk Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sentiasa melakukan pemeriksaan mengejut termasuk ujian air kencing terhadap semua pegawai dan anggotanya.

“Masalahnya tidak kronik kerana kami sentiasa memeriksa pegawai dan anggota kami, kami tegas dalam hal ini.

“Kami juga membantu jabatan lain dalam membanteras mereka yang terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat dengan sebarang jenayah terutama yang melibatkan dadah.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Kami tidak pernah menafikan bahawa anggota atau pegawai polis terlibat dalam salah laku tetapi yakinlah, mereka telah dan akan ditangani,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button