Berita Utama

22 universiti tempatan catat peningkatan kedudukan

Malaysia mampu jadi hab pendidikan tinggi yang unggul di rantau Asia

PUTRAJAYA, 28 Rabiulawal 1443H, Khamis – Penarafan Ranking Universiti Quacquarelli-Symonds (QS) : Asia (QS-AUR) 2022 mendapati 22 universiti di Malaysia menunjukkan peningkatan kedudukan berbanding tahun lepas, empat universiti kekal di kedudukan sama manakala 10 universiti mencatat penurunan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, antara universiti tempatan mencatat peningkatan kedudukan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Empat universiti yang mengekalkan kedudukan adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, penarafan QS-AUR 2022 turut menunjukkan peningkatan penyertaan universiti tempatan sebanyak 36 universiti berbanding 35 universiti pada tahun sebelumnya.

UM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan universiti yang pertama ditubuhkan di negara ini menduduki tempat kelapan dalam QS-AUR 2022, naik satu kedudukan berbanding tahun lepas.

Kejayaan tersebut menyaksikan UM memperbaiki kedudukannya berbanding tahun lepas selepas buat pertama kalinya berjaya menjadi antara 10 universiti Asia terbaik sejak penganugerahan QS-AUR pada 2009.

Menurut KPT, pencapaian dicapai universiti tempatan membuktikan bahawa universiti di negara ini mampu bersaing dengan universiti di negara Asia yang lain walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19.

“Kejayaan ini juga menunjukkan bahawa Malaysia mampu menjadi hab pendidikan tinggi yang unggul di rantau Asia,” kata KPT.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan QS World University Rankings Ben Sowter berkata, universiti-universiti di Malaysia terus mencatatkan peningkatan kedudukan menerusi QS-AUR 2022 walaupun wujud persaingan sengit.

Secara keseluruhan sebanyak 687 universiti termasuk 40 penyertaan baharu dari 18 negara Asia terlibat dalam penilaian QS-AUR yang juga perbandingan meluas pernah dilaksanakan di rantau Asia.

Penilaian QS-AUR dilaksanakan berdasarkan kepada 11 petunjuk prestasi utama antaranya reputasi akademik; kebolehpasaran graduan; kualiti penyelidikan dan produktiviti; pengantarabangsaan di kampus serta kerjasama antarabangsa dengan pelbagai institusi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button