Berita Utama

Syor guna hujah lebih kuat cabar keabsahan sekolah vernakular

Wajar tubuhkan RCI untuk lihat sejauh mana SJK berjaya pupuk identiti nasional

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 25 Jamadilawal 1443H, Khamis – Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) mengesyorkan empat plaintif dalam kes mencabar keabsahan sekolah vernakular meneliti dan mengemukakan hujah yang lebih kuat untuk dibawa ke peringkat rayuan.

Presidennya, Ustaz Azizee Mohd Hassan keputusan berkata, kes ini akan menjadi kes rujukan berkaitan keabsahan sekolah vernakular dan beliau tidak menafikan usaha untuk menghapuskan sekolah vernakular adalah rumit dan sukar.

“Pihak yang membawa isu ini boleh merayu di mahkamah rayuan meskipun keputusan semalam tidak memihak kepada plaintif.

“Mungkin pihak plaintif perlu melihat kepada aspek dengan hujah yang lebih kuat terutama sejauh mana sekolah vernakular memupuk perpaduan bangsa.

“Untuk menolak keabsahaan sekolah vernakular, adalah wajar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk melihat sejauh mana sekolah vernakular berjaya memupuk identiti nasional,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak saman oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). 

Kesemua badan bukan kerajaan itu memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) Perlembagaan.

Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan Perlembagaan.

Bagaimanapun dalam penghakiman, Mohd Nazlan berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Nazlan berkata, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan berdasarkan latar belakang sejarah serta perundangan Perkara 152 (bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan) serta niat pihak yang menggubal perlembagaan ketika itu, penggunaan selain Bahasa Melayu bagi pengajaran di sekolah vernakular bukan untuk tujuan rasmi dan tidak melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button