WHO beri amaran Omicron, Delta cetus ‘tsunami’ kes
Keseluruhan risiko Omicron kekal sangat tinggi

GENEVA, 25 Jamadilawal 1443H, Khamis – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian Omicron dan Delta boleh menghasilkan ‘tsunami’ kes COVID-19 yang akan memberi tekanan besar pada sistem penjagaan kesihatan.
“Saya sangat bimbang varian Omicron, yang lebih mudah menular (dan) merebak pada masa sama dengan Delta, membawa kepada tsunami kes,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar dalam talian.
Menurut angka WHO, jumlah kes COVID-19 yang direkodkan di seluruh dunia meningkat sebanyak 11 peratus minggu lepas berbanding minggu sebelumnya, dengan hampir 4.99 juta baharu dilaporkan dari 20 hingga 26 Disember.
Kes baharu di Eropah – yang menyumbang lebih separuh daripada jumlah keseluruhan – meningkat tiga peratus, manakala di Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak 39 peratus manakala di Afrika sebanyak 7 peratus.
Bimbang dengan peningkatan kes, Tedros berkata, “ia akan memberi tekanan besar kepada pekerja kesihatan dan sistem kesihatan di ambang keruntuhan.”
WHO berkata, dalam laporan epidemiologi mingguannya bahawa ‘keseluruhan risiko berkaitan Omicron ‘kekal sangat tinggi’.
Agensi antarabangsa itu memetik ‘bukti konsisten’ bahawa ia mempunyai kelebihan peningkatan berbanding varian Delta. – Agensi