Berita Utama

Ops BAHIS tumpu proses disinfeksi bagi jaga kesihatan penduduk terjejas banjir

Jaga kesihatan awam elak jangkitan penyakit lain

SHAH ALAM, 26 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Selain bantuan kerja-kerja pembersihan, Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) akan memberi tumpuan kepada proses disinfeksi di rumah-rumah serta persekitaran kawasan yang terjejas akibat banjir pada 18 Dis lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, proses disinfeksi yang akan dijalankan esok dan Ahad ini, bertujuan menjaga kesihatan awam bagi mengelakkan berlaku jangkitan penyakit lain dalam kalangan penduduk yang terkesan dengan bencana itu.

“Selain menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan COVID-19, soal kesihatan awam juga perlu dijaga. Salah satu program di bawah Ops BAHIS yang saya lancarkan ini adalah ‘disinfeksi’.

“Sebelum ini, kita basuh (rumah mangsa banjir) berkali-kali kemudian kita perlu buat ‘disinfecting exercise’ supaya lebih bersih kerana saya lebih khuatir dengan jangkitan penyakit lain selepas musim banjir ini sekiranya kita tidak berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi serta mengadakan tahlil ringkas di sebuah rumah mangsa banjir di Flat Andorra dekat Taman Sri Muda,  hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata Ops BAHIS juga sedang giat menjalankan kerja-kerja pengutipan sampah di sekitar kawasan terjejas dengan menggerakkan kenderaan berat melalui bantuan pelbagai pihak seperti Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

“Di bawah program BAHIS ini sepatutnya kita ‘adopt’ rumah sahaja tetapi atas permintaan penduduk kita menggerakkan juga mesin dan jentera untuk memungut puluhan tan sampah ini,” katanya.

Menyentuh mengenai sumbangan wang tunai serta barangan kepada mangsa banjir, beliau berkata, pemberian itu akan diberikan esok kepada mangsa yang dibantu dalam Ops BAHIS sepanjang operasi itu dilaksanakan bermula dari 29 Dis lepas hingga Ahad ini.

Annuar berkata, 1,500 sukarelawan telah mendaftarkan nama melalui Ops BAHIS setakat semalam, yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Rumah Prihatin serta penuntut universiti.

Ops BAHIS cetusan idea Annuar, berkonsepkan Keluarga Angkat dengan menempatkan sekurang-kurangnya lima sukarelawan bagi berganding bahu bersama mangsa membersihkan rumah dan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir.

Ia merangkumi kawasan di Taman Sri Muda, Shah Alam; Bukit Changgang, dekat Sepang; dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, dengan menyasarkan 300 rumah sepanjang lima hari operasi berkenaan di ketiga-tiga lokasi itu.

Ops BAHIS bukan sahaja melibatkan kerja pembersihan malah turut membantu memberi sokongan moral dan penawar tekanan atau trauma dialami keluarga yang terkesan ekoran bencana itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button