Berita Utama

Sumbangan Aman Palestin dukung perjuangan pertahan Masjid al-Aqsa

Bertanggungjawab tanam kefahaman perjuangan suci rakyat Palestin

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Jamadilawal 1443H, JumaatPeranan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) bukan sekadar mencari dana untuk disalurkan kepada penduduk Palestin, sebaliknya menanam kefahaman masyarakat terhadap perjuangan suci rakyat di sana.

Pengurus Operasi Wilayah Malaysia Aman Palestin Berhad, Ustaz Khairul Amin Ibrahim menegaskan, rakyat Palestin kini sedang berjuang dan menjadi benteng dalam mempertahankan kemuliaan Masjid al-Aqsa.

Katanya, Aman Palestin bertanggungjawab memastikan perjuangan mereka terus membara dengan menyediakan segala bentuk bantuan yang diperlukan.

“Serangan yang berlaku di Palestin adalah perkara kecil dan sering berlaku sepanjang masa dan itu bukan kisah Palestin yang sebenarnya.

“Tetapi (apa) yang kita perjuangkan adalah mahu pastikan Palestin dibebaskan daripada penjajah yang zalim dan menjadi penguasa dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Bicara Palestin: 15 Tahun Penuh Rahmat, malam ini.

Beliau menjelaskan, untuk berjuang, penduduk Palestin perlu terus hidup dan perkara itu sedang dilakukan oleh Aman Palestin ketika ini.

“Kami di Aman Palestin mahu terus membela rakyat Palestin bagi memastikan mereka yang berada di sana terus hidup dan mampu menjadi benteng-benteng untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa bagi pihak kita semua, itu yang lebih besar.

“Jadi kita perlu pastikan mereka ada makanan, tenaga untuk berjuang dan kita perlu konsisten memberi bantuan dan sokongan tanpa terputus bekalan,” tambahnya.

Tegas Ustaz Khairul lagi, kefahaman berkenaan situasi semasa penduduk di sana perlu diteruskan bagi memastikan dana yang disumbangkan tidak terputus.

“Jadi kita perlu konsisten dan tidak boleh terputus bekalan dan sekiranya mereka bersendirian tanpa bantuan lain keadaan menjadi lemah yang akhirnya mereka beralah dan tinggalkan bumi istimewa itu,” katanya.

Pautan:

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button