Banjir: N. Sembilan peruntuk RM39.6 juta baiki infrastruktur
Ia merangkumi 27 projek baik pulih cerun

SEREMBAN, 26 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM39.6 juta membabitkan 88 projek bagi tujuan membaik pulih infrastruktur yang terjejas akibat banjir di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata ia merangkumi 27 projek baik pulih cerun dianggarkan berjumlah RM25.2 juta, 24 projek jambatan (RM9.7 juta), 24 projek jalan raya (RM2.9 juta) serta 13 projek lain-lain pembaikan berkaitan seperti longkang atau pembentung berjumlah RM1.7 juta.
“Bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek itu, kita juga bersetuju dengan beberapa kaedah perolehan dilaksanakan seperti undian, perolehan secara terbuka atau tender bergantung kepada tahap kesegeraan kerosakan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Aminuddin berkata setiap agensi pelaksana diarah mempercepatkan gerak kerja dan melaksana pembaikan sementara di mana-mana lokasi yang berkaitan.
Beliau berkata kelulusan peruntukan itu diharap dapat memastikan keselamatan dan kebajikan awam terpelihara. – Bernama