Berita Utama

MACAU SCAM: Pesara awam rugi lebih RM1.6 juta

Penipuan bermula apabila menerima panggilan yang dakwa dirinya ejen insurans

SIBU, 26 Jamadilawal 1443H, Jumaat  – Seorang wanita yang merupakan pesara awam di Sibu kerugian lebih RM1.63 juta akibat sindiket ‘Macau Scam’ dalam tempoh dua bulan ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat berkata, penipuan tersebut bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya ejen insurans pada 27 Okt lepas.

Collin berkata, pemanggil tersebut telah memberitahu mangsa dia mempunyai tuntutan insurans kemalangan yang masih belum diselesaikan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Talian mangsa kemudian dipindahkan kepada individu mendakwa dirinya sebagai Sarjan Razif, yang memberitahu mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dari 2020 hingga 2021 dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” kata Collin dalam satu kenyataan, hari ini.

‘Sarjan Razif’ kemudian menawarkan diri untuk membantu mangsa menyelesaikan kesnya tetapi mangsa perlu membuka dua akaun atas namanya untuk memberi akses kepada Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan.

“Mangsa kemudian membuka dua akaun berdasarkan arahan diberikan dan menyerahkan nama pengguna serta kata laluan kepada suspek,” katanya.

Pada 10 Nov, mangsa memasukkan wang simpanannya ke dalam akaun tersebut untuk tujuan siasatan.

Dia hanya menceritakan perkara itu dengan abangnya pada Selasa lepas dan diberitahu bahawa dia mungkin telah ditipu.

Apabila menyemak akaun banknya selepas itu, mangsa mendapati 52 transaksi pengeluaran berjumlah RM1,638,943 telah dibuat dan membuat laporan polis keesokannya. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button