Berita Utama

Murid sedikit tapi Dong Zong Melaka enggan SJKC dikurangkan

Gesa rancangan penempatan semula supaya 65 SJKC kekal

BANGI, 26 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Enggan bilangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dikurangkan, pertubuhan radikal, Dong Zong Melaka menggesa langkah penempatan semula diatur bagi mengekalkan jumlah 65 sekolah vernakular sedia ada di negeri itu.

Ini susulan terdapat beberapa SJKC yang mempunyai bilangan murid berkurangan sehingga pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengemukakan cadangan supaya sekolah terlibat bergabung dengan SJKC berhampiran dan menutup sekolah asal.

Atas sebab itu, Dong Zong Melaka yang turut dikenali sebagai pertubuhan Dong Lian menggesa supaya rancangan perpindahan dibuat untuk mengekalkan jumlah SJKC sedia ada di negeri berkenaan.

Pengerusi Dong Zong Melaka, Seow Hon Cheong mengakui kadar kelahiran dalam kalangan masyarakat Cina mencatatkan penurunan berterusan sepanjang tempoh 10 tahun lalu.

Katanya, penurunan itu secara langsung telah memberi kesan kepada bilangan kemasukan murid baharu ke SJKC di Melaka, sekali gus menambah pembinaan SJKC mikro Cina di negeri itu setiap tahun.

“Kini terdapat tiga SJKC di negeri ini dengan bilangan murid kurang daripada 30 orang.

“Pengelasan semula murid ialah cabaran besar bagi guru-guru dan kitaran ini berterusan akibat kemasukan murid baharu yang semakin berkurangan setiap tahun,” katanya seperti dilapor portal berbahasa Cina, Oriental Daily pada 19 Disember lalu.

Hon Cheong mendakwa, pihaknya menerima laporan pada awal tahun ini daripada sekolah terlibat bahawa Jabatan Pendidikan mencadangkan untuk SJKC yang mempunyai jumlah murid sedikit supaya ditutup untuk bergabung dengan SJKC berhampiran.

“Setiap SJKC ialah saksi kepada sejarah pendidikan Cina yang membuktikan bukan mudah bagi cendikiawan dahulu mengendalikan sekolah. Tambahan pula, pihak berwajib tidak menginstitusikan penubuhan SJKC. 

“Bagaimana generasi kita boleh menutup sekolah asal dengan mudah? Oleh itu, ahli perhimpunan ini merayu agar rancangan perpindahan SJKC terlibat ke tapak baru dibuat secepat mungkin bagi menangani kekurangan murid,” katanya.

Hon Cheong menegaskan perkara itu ketika berucap pada Perhimpunan Agung Dong Zong Melaka 2021 yang dihadiri 65 wakil dan 32 sekolah.

Dalam ucapannya, Hon Cheong berkata, Dong Zong Melaka menggesa kepada pemaju untuk bekerjasama dengan masyarakat Cina dengan menyediakan tapak untuk pembinaan SJKC dalam rancangan kawasan perumahan yang akan dibangunkan, supaya SJKC mikro mendapat nafas baharu demi kelangsungan pendidikan kaum itu.

Selain itu, perwakilan perhimpunan berkenaan turut menyambut baik Belanjawan 2022 yang akan menginstitusikan peruntukan kepada sekolah vernakular dan berharap KPM serta Kementerian Kewangan dapat menyalurkan peruntukan penyelenggaraan sekolah terus ke akaun lembaga pengurusan dan memberi kuasa penuh kepada mereka menguruskan kewangan berkenaan.

“Ini penting bagi menghormati kedudukan lembaga pengurus sekolah, tambahan pula lembaga pengurus sekolah dapat memastikan kerja penyelenggaraan disiapkan dalam waktu ditetapkan dengan kata lain ia lebih berkesan dan boleh diharap,” katanya.

Pada masa sama, perhimpunan itu juga meluluskan 13 usul berkaitan hal ehwal SJKC, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Antaranya ialah seruan kepada tiga SJKC mikro agar memberikan perhatian kepada prospek sekolah, sentiasa dalam keadaan bersiap sedia, menjalankan aktiviti pengambilan murid baru secara aktif atau menubuhkan jawatankuasa perancangan perpindahan agar bilangan 65 SJKC di Melaka dikekalkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button