Berita UtamaDunia

Pakistan hantar AS$28 juta bantuan kemanusian ke Afghanistan

Gesa masyarakat antarabangsa turut sama membantu

ISLAMABAD, 26 Jamadilawal 1443H, JumaatPakistan memulakan penghantaran bantuan kemanusiaan termasuk 50,000 tan metrik gandum kepada Afghanistan.

Sebelum ini, Pakistan berjanji untuk menyalurkan bantuan sebagai bekalan musim sejuk di negara itu yang bernilai AS$28 juta termasuk gandum, tempat perlindungan dan stok ubat-ubatan.

Kementerian Luar Pakistan dalam kenyataan menggesa, masyarakat antarabangsa meningkatkan usaha membantu menangani krisis kemanusiaan di negara tersebut.

“Adalah penting bagi masyarakat dunia meningkatkan usahanya untuk mendekati rakyat Afghanistan dalam keadaan terdesak untuk membantu menangani krisis kemanusiaan dan menstabilkan semula keadaan ekonomi,” katanya.

Pemimpin-pemimpin Pakistan menyifatkan keadaan di negara tersebut semakin kritikal dan memaksa rakyat Afghanistan berlindung di negara jiran sekiranya tiada bantuan yang tiba dalam masa terdekat.

Sehingga kini, kira-kira tiga juta pelarian Afghanistan berlindung di Pakistan dan terpaksa menolak kedatangan lebih ramai rakyat negara itu dengan alasan berdepan kesukaran ekonomi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 23 juta atau kira-kira 55 peratus populasi Afghanistan kini berdepan kelaparan dan sembilan juta daripadanya pula berisiko kebuluran.

Semua berlaku ekoran peperangan yang berlanjutan selain sekatan bantuan antarabangsa.

Pakistan, yang terkenal mempunyai hubungan rapat dengan Taliban menggesa Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain untuk melibatkan diri dengan pemerintah baharu di Afghanistan bagi mengelakkan krisis kemanusiaan serta ekonomi berlanjutan.

Minggu lalu, Jabatan Perbendaharaan AS melonggarkan sekatan dan bersedia memberi kebenaran bagi memastikan bantuan antarabangsa disalurkan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button