Berita Utama

PDRM pantau pematuhan SOP PPN sepanjang ambang tahun baharu

Elak orang ramai berkumpul bagi cegah penularan COVID-19

BANGI, 26 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan rondaan serta pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut fasa sepanjang tempoh ambang Tahun Baharu 2022.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan semua Pesuruhjaya Polis Negeri, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah untuk meningkatkan rondaan pemantauan ke atas lokasi-lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai berkumpul sempena ambang tahun baharu.

Beliau berkata, tujuan rondaan pemantauan adalah untuk memastikan SOP PPN mengikut fasa dipatuhi di samping mengelak orang ramai berkumpul bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

“Tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar SOP PPN tersebut.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan pematuhan SOP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl berkata, kerjasama semua pihak dalam aspek itu adalah penting memandangkan pandemik COVID-19 masih ancaman kesihatan serius yang perlu dibendung.

Terdahulu, PDRM memaklumkan tiada sebarang permit sambutan tahun baharu diluluskan di seluruh negara sempena ambang tahun baharu malam ini.

Malah, orang ramai juga diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sambutan tahun baharu atau berkumpul beramai-ramai pada malam menjelang tahun baharu di mana-mana lokasi tumpuan awam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button