Pengeculian cukai ke atas FSI tambah baik iklim pelaburan Malaysia – CTIM
Diberikan kepada semua kecuali perniagaan perkongsian di Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Persetujuan kerajaan mengecualikan pendapatan dividen yang diperoleh perkongsian dan syarikat liabiliti terhad daripada cukai akan meningkatkan pelaburan, dengan menggalakkan pendapatan dividen sumber asing dihantar ke Malaysia, menurut Institut Percukaian Malaysia (CTIM).
Presiden CTIM, Farah Rosley berkata, langkah itu turut akan membantu mengekalkan daya tarikan Malaysia sebagai lokasi untuk pejabat serantau.
“Persetujuan kerajaan mengecualikan pendapatan dividen yang diperoleh perkongsian dan syarikat liabiliti terhad adalah dialu-alukan,” katanya.
Semalam, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengecualikan cukai ke atas pendapatan yang diterima dari luar negara (FSI) bagi pembayar cukai pemastautin.
Menurut MoF, pengecualian cukai itu akan berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2026.
Tertakluk kepada syarat kelayakan yang akan diperincikan dalam garis panduan Lembaga Hasil Dalam Negeri, jenis pendapatan yang dikecualikan cukai ialah pendapatan dividen untuk syarikat atau perkongsian liabiliti terhad, dan semua jenis pendapatan untuk kategori pembayar cukai individu.
Farah berkata, MoF juga mengumumkan bahawa FSI yang diterima dalam tahun taksiran 2022 adalah dikecualikan daripada pengiraan cukai bagi tujuan Cukai Makmur.
Pengecualian FSI akan diberikan kepada semua individu, kecuali mereka dalam perniagaan perkongsian di Malaysia, manakala bagi pembayar cukai bukan pemastautin — individu, syarikat dan lain-lain — mereka kekal dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah Perenggan 28, Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967, katanya.
Beliau berkata, semasa pembentangan Bajet 2022 pada 29 Okt, 2021 terdapat cadangan supaya menarik balik pengecualian cukai ke atas FSI yang diterima di Malaysia dan FSI akan dikenakan cukai mulai 1 Jan, 2022.
“Ini menimbulkan perbincangan hangat dalam kalangan syarikat dan individu, terutama mereka yang mempunyai pelaburan besar di luar negara.
“Ramai pembayar cukai pemastautin Malaysia sebelum ini terperangkap dalam dilema mengenai prospek pendapatan mereka dari luar negara yang akan dikenakan cukai pada 1 Jan, 2022. Mereka kini boleh menarik nafas lega sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya. – Bernama