Berita Utama

SK perlu miliki infrastruktur sehebat vernakular untuk bersaing

Tak salah guna kaedah berlembut sebagai wahana perpaduan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Usaha memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) perlu menjadi agenda utama ketika ini, supaya ia kelihatan menarik sekali gus menjadi pilihan ibu bapa.

Perkara tersebut tidak mustahil untuk dilakukan susulan daripada banyak peruntukan dan kemudahan yang diberikan kepada sekolah berkenaan.

Tokoh pendidikan, Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan percaya, jika usaha tersebut digembleng tidak mustahil pelajar berbilang kaum dapat duduk di bawah satu bumbung sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Bagi mengembalikan perpaduan semua kaum itu, kita perlu perkasakan semula sekolah kebangsaan dengan menyediakan infrastruktur dan prasarana yang lebih sempurna.

“Tenaga pengajar juga perlu dipertingkatkan malah cara pengajaran juga perlu diubah ke arah yang komprehensif dalam melahirkan anak bangsa yang lebih berjaya.

“Langkah yang dilakukan itu secara langsung memberikan tarikan baharu dan tidak mustahil secara perlahan-perlahan sekolah vernakular yang ada akan ditutup sedikit demi sedikit apabila melihat kesemua infrastruktur di sekolah aliran kebangsaan sudah berada di tahap terbaik,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Prof Mohd Ali berkata, sudah tiba masanya pendekatan berlembut digunakan sebagai wahana dalam membentuk perpaduan.

Katanya lagi, tidak ada salah sekiranya SK menawarkan bahasa-bahasa lain sebagai pembaharuan dalam sekolah aliran kebangsaan.

“Kita mungkin boleh tawarkan bahasa-bahasa lain selain bahasa Melayu yang perlu dijadikan bahasa pengantar di SK, keadaan itu membuat mereka yakin untuk kembali semula berada di sekolah aliran kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan infrasturuktur di sekolah-sekolah vernakular jauh lebih baik berbanding SK.

“Kenapa kita lihat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kemudahan mereka ‘tip-top’ sebabnya ukhwah sesama mereka tinggi, yang kaya banyak menyumbang.

“Situasi itu sukar untuk dilihat di SK kerana semua bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button