Taufan Rai: Presiden Filipina mohon maaf lambat agih bantuan
Dakwa terikat undang-undang sebelum boleh guna dana kerajaan

MANILA, 26 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memohon maaf atas kelewatan kerajaan mengagihkan bantuan kepada mangsa Taufan Rai yang melanda negara ini minggu lalu.
“Saudara-saudara saya, izinkan saya mulakan dengan memohon maaf kepada anda kerana operasi bantuan kerajaan ditangguhkan.
“Ini kerana ada undang-undang yang menghalang saya daripada mengisytiharkan keadaan bencana yang akan membolehkan saya menggunakan dana kerajaan untuk membeli semua keperluan anda,” katanya ketika melawat mangsa terselamat di wilayah Negros Oriental, Rabu lalu.
Taufan dasyat itu menyebabkan sekurang-kurangnya 389 orang maut dan 1,146 cedera, manakala 64 yang lain masih hilang, menurut Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina.
Duterte berkata, penilaian kerosakan mengambil masa, manakala laporan lain perlu dikemukakan sebelum mengisytihar keadaan bencana – untuk mempercepatkan usaha menyelamat, bantuan dan pemulihan.
“Jadi, itulah masalahnya di sana. Saya tidak boleh menggunakan wang itu tanpa laporan dan saya juga tidak boleh mengisytiharkan keadaan bencana.
“Justeru, mohon maafkan kami kerana kerajaan sangat tegas dalam hal itu. Saya tidak mahu berkompromi dengan mereka yang mengagihkan bantuan jika sistem tidak diikut sebetulnya kerana mereka mungkin boleh dipenjara,” katanya.
Bagaimanapun, ketika mesyuarat pada Khamis dengan pegawai di bandar Cebu, Duterte berkata, tentera dan polis diarahkan untuk mengguna aset mereka dalam usaha bantuan dan pemulihan.
Rai adalah taufan terkuat yang melanda Filipina tahun ini. Ia mencapai kelajuan 195 kilometer sejam, menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan kemusnahan serius di kepulauan tenggara. – Agensi