Berita Utama

300 sukarelawan BERJASA bantu mangsa banjir sempena tahun baharu

Lebih 6,000 mangsa banjir dibantu sejak 2 minggu lalu

SHAH ALAM, 27 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Kira-kira 300 sukarelawan BERJASA digerakkan ke Kampung Padang Jawa, Seksyen 17 dan Sepang bagi membantu mangsa banjir sempena tahun baharu.

Sejak dua minggu lalu, lebih 800 sukarelawan parti itu sudah berkampung di Selangor bagi membantu lebih 6,000 mangsa banjir di sekitar Shah Alam, Klang, Dengkil, Sepang dan Banting.

Naib Presiden BERJASA, Haji Abdul Samad Ashaari berkata, sukarelawan bermandi peluh membanting tenaga membersihkan kawasan terjejas di beberapa kawasan.

“Selain mengedarkan pelbagai bentuk sumbangan kepada mangsa, ratusan sukarelawan parti itu turut membersihkan kawasan terjejas bersama bantuan penduduk kampung.

“Gerak kerja ini dilakukan dengan harapan dapat membantu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempercepatkan kerja pembersihan agar penduduk dapat mulakan kehidupan mereka,” katanya, hari ini.

 

Sementara itu, di Kampung Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang kerja-kerja pembersihan turut disertai Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim yang turun padang dan bergotong-royong bersama penduduk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Bukan itu sahaja, sukarelawan juga bergotong-royong membersihkan madrasah tahfiz yang teruk terjejas akibat banjir.

Katanya, sebanyak tiga buah lori dan dua jentolak digunakan untuk mengangkat sampah, di sepanjang jalan Kampung Labohan Dagang.

“Keadaan pascabanjir lebih perit kerana kebanyakan mangsa tinggal sehelai sepinggang dan memerlukan sokongan motivasi untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button