Berita Utama

8.6 juta saman trafik dilangsai sepanjang tempoh diskaun

Bukti orang ramai ambil peluang selesai saman tertunggak

DUNGUN, 27 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Kira-kira 8.6 juta saman trafik berjaya dilangsaikan sepanjang tempoh pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Disember hingga semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tawaran diskaun saman yang dilaksanakan menerima sambutan tinggi daripada masyarakat.

Malah, katanya, jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan sepanjang 2021 adalah sebanyak 12.2 juta.

“Ini menggambarkan orang ramai betul-betul mengambil peluang tawaran diskaun tersebut untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak bercadang melanjutkan tawaran diskaun berkenaan memandangkan kaunter pembayaran trafik di seluruh negara dilihat lengang sejak penghujung bulan lalu.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana berpuas hati dengan peranan yang dimainkan semua agensi berkaitan dalam pengendalian situasi banjir di seluruh negara.

Tegas beliau, kesemua pihak mengikuti Arahan No 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20), termasuk di peringkat negeri.

“Berdasarkan arahan ini semua agensi akan terlibat. Maknanya semua agensi terlibat melalui konsep gotong-royong,” katanya.

Beliau berkata, peringkat kontinjen telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana yang ketua polis negeri telah memanggil semua agensi berkaitan untuk berbincang dan memperincikan peranan mereka.

“Setakat ini, saya berpuas hati dan maklum balas yang saya terima daripada ketua-ketua polis negeri didapati persiapan dan persediaan telah dibuat.

“Kita sama-sama berdoa supaya apa yang telah dirancang berjalan dengan lancar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button