Berita Utama

Amaran hujan berterusan di peringkat jingga, kuning di kebanyakan negeri

MetMalaysia jangka hujan lebat berterusan sehingga 4 Januari

KUALA LUMPUR, 27 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan peringkat jingga (buruk) di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor hingga Isnin, 3 Januari  ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan yang dikeluarkan  memaklumkan, hujan lebat berterusan itu membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang; Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan; Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; serta seluruh Melaka.

Hujan berterusan peringkat kuning (waspada) pula dijangka berlaku di Perak melibatkan daerah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson); dan Johor (Pontian, Kulai dan Johor Bahru) hingga Isnin.

Amaran tahap waspada itu turut dijangka berlaku hingga Selasa, 4 Januari di Kelantan, Terengganu, Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh) serta Sabah iaitu di Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan), serta Kudat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button