Dunia

COVID-19: Kes melonjak, Korea Selatan perketat semula sekatan

Rancang tambah katil hospital untuk tampung 10,000 kes sehari

SEOUL, 27 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Korea Selatan akan melanjutkan peraturan penjarakan sosial yang ketat selama dua minggu, di tengah-tengah lonjakan berterusan kes jangkitan COVID-19 dan kebimbangan terhadap varian baharu, Omicron.

Kerajaan melaksanakan semula sekatan pada 18 Disember, enam minggu selepas melonggarkannya di bawah skim ‘hidup dengan COVID-19’, berikutan bilangan jangkitan baharu dan serius memecah rekod yang memberi tekanan kepada sistem perubatan negara.

Jumlah jangkitan harian telah menurun dengan 4,875 kes pada Khamis – selepas pernah mencecah 8,000 dua minggu lalu – namun bilangan pesakit kritikal masih paras tertinggi iaitu 1,000 orang, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Perdana Menteri Korea, Kim Boo-kyum berkata, lanjutan itu bertujuan untuk menangani penyebaran kes Omicron, selain sebagai tempoh untuk menambah lebih banyak katil hospital dan menggalakkan kempen suntikan penggalak.

“Kita harus menempah katil yang mencukupi yang boleh menampung kira-kira 10,000 kes sehari, dan juga kita harus mempercepatkan suntikan penggalak dan vaksinasi kanak-kanak,” kata Boo-kyum.

Sekatan – yang berkuat kuasa sehingga 16 Januari – melarang perhimpunan melebihi empat orang yang telah divaksin sepenuhnya, selain memerlukan restoran, kafe dan bar ditutup pada jam 9 malam serta panggung wayang dan kafe internet pada jam 10 malam.

Individu yang tidak divaksin hanya dibenarkan makan di luar premis, atau menggunakan perkhidmatan bawa pulang serta penghantaran.

Sehingga kini, hampir 91 peratus rakyat Korea Selatan berumur 12 tahun ke atas telah diberikan vaksinasi COVID-19 sepenuhnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button