Berita Utama

KPPK kenal pasti pekebun kecil terjejas banjir

Ambil kira semua kerosakan untuk diberikan bantuan

BANGI, 27 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang mengenal pasti jumlah keseluruhan pekebun kecil yang terjejas banjir untuk menyalurkan bantuan sewajarnya.

Ketua Setiausaha KPPK, Datuk Ravi Muthayah berkata, pengumpulan maklumat dengan bantuan semua agensi di bawah KPPK itu sedang giat dilaksanakan bagi tujuan tersebut.

Antara agensi terbabit adalah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM).

“Mengambil contoh pokok kelapa sawit, sekiranya tanaman itu ditenggelami air lebih daripada lima hari akan menjejaskan hasil pengeluaran buah sawit.

“Kita mengambil kira semua kerosakan yang dialami pekebun kecil dan semua maklumat yang diperoleh akan dimaklumkan kepada kerajaan untuk bantuan,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini

Beliau menjelaskan kerajaan juga sedang menilai laporan 64 kilang perabot terjejas banjir dengan anggaran keseluruhan kerugian berjumlah kira-kira RM10 juta.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini sebanyak RM500,000 dibelanjakan KPPK bagi tujuan misi bantuan banjir.

“Selain sumbangan wang tunai, ia membabitkan bantuan seperti peralatan dapur, makanan dan tilam.

“Kita turut bercadang untuk menyalurkan bantuan perabot kepada mangsa banjir antaranya menerusi bantuan persatuan kayu kayan yang ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button