Dunia

Lagi tahanan Palestin kritikal akibat mogok lapar

Abu Hawwash bantah tahanan pentadbiran sejak 5 bulan lalu

RAMALLAH, 27 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Keadaan kesihatan tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar di penjara Israel, Hesham Abu Hawwash dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, menurut Kementerian Kesihatan.

Abu Hawwash melancarkan mogok lapar selama hampir lima bulan sebagai membantah penahanan pentadbirannya yang dilaksanakan tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan oleh negara pengganas Israel.

Delegasi kementerian yang melawat Abu Hawwash di pusat perubatan Israel, Assaf Harofeh berkata, keadaan kesihatannya sangat membimbangkan kerana dia mengalami kabur penglihatan, atrofi otot dan ketidakupayaan bergerak serta bercakap.

Kementerian berkata, pihaknya cuba mendapatkan laporan perubatan yang dijalankan ke atas Abu Hawwash, namun pemeriksaan terakhir pada 16 Disember menunjukkan dia kekurangan garam kalium yang kritikal dan peningkatan enzim hati.

Bagaimanapun, tiada pemeriksaan lain dijalankan untuk Abu Hawwash selepas tarikh itu, kata kementerian.

Harofeh berkata, pihaknya telah menghubungi kumpulan hak asasi manusia antarabangsa untuk menuntut Abu Hawwash dipindahkan ke hospital Palestin selepas kemerosotan serius terhadap tahap kesihatannya.

Dasar penahanan pentadbiran Israel yang dikutuk secara meluas ini membolehkan tentera penjajah menghukum rakyat Palestin sehingga enam bulan dalam penjara tanpa mengenakan tuduhan atau membenarkan mereka dibicarakan.

Dasar ini ada kalanya memaksa tahanan Palestin melancarkan mogok lapar sebagai pilihan terakhir untuk menuntut pembebasan mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button