Berita Utama

Malaysia tangguh kebenaran perjalanan umrah mulai 8 Januari

Langkah kurangkan risiko Omicron, perlahan peningkatan kes

BANGI, 27 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini, bagi mengurangkan risiko penularan varian Omicron dan memperlahan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehingga 30 Disember, terdapat sembilan kluster yang berlaku membabitkan jemaah umrah, di mana lima daripadanya kes-kes indeks yang disahkan varian Omicron.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan varian Omicron setakat 31 Disember 2021 adalah sebanyak 64 kes – 63 membabitkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.

“Daripada 64 kes jangkitan COVID-19 varian Omicron ini, sebanyak 32 kes (50 peratus) dikesan dalam kalangan jemaah umrah.

“Perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan para jemaah ini kepada risiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, situasi itu menyukarkan para jemaah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) umrah yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

“Jemaah umrah juga berkemungkinan telah dijangkiti semasa berada di Arab Saudi tetapi masih dalam tempoh inkubasi jangkitan menyebabkan ujian saringan sebelum bertolak balik ke Malaysia masih negatif.

“Bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai iaitu 800 ke 1,000 sehari (menggunakan empat penerbangan khas) meningkatkan lagi risiko pengimportan kes COVID-19 dan varian Omicron ke dalam negara,” katanya.

Malah, kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari kuarantin, katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata, apabila berlaku ketidakpatuhan kepada SOP ditetapkan, kes-kes positif COVID-19 dalam kalangan jemaah umrah telah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam ahli keluarga.

Atas sebab itu, kerajaan memutuskan untuk tiada lagi perjalanan mengerjakan umrah selepas 7 Januari 2022 sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak.

“Tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa 1 Januari 2022.

“Kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak NADMA bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Januari 2022,” katanya.

Beliau berkata, bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci pada 1 Januari hingga 7 Januari 2022, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin oleh pihak NADMA sebaik tiba di Malaysia.

“Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

“Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.

“Selain itu, langkah ini juga diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti umrah boleh dibenarkan semula,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button