Pendaftaran, kemas kini BKM dibuka mulai hari ini
Manfaat lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion

BANGI, 27 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Pendaftaran baharu dan kemas kini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibuka mulai hari ini sehingga 31 Januari 2022, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, tempoh itu bertujuan untuk memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing.
Malah, penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat juga berpeluang membuat pengemaskinian, katanya.
“Secara keseluruhan, BKM pada tahun 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR pada tahun 2021.
“Bagi mengurangkan golongan yang tercicir (atau exclusion error), data berikut akan dibawa secara automatik ke dalam BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ia antaranya ialah penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021; Bantuan Khas COVID-19 (BKC) B40 2021; pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin dan data agensi kerajaan melalui e-Kasih, bantuan JKM, penghuni perumahan awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah DBKL serta KPKT, Orang Asli JAKOA, gelandangan berdaftar dengan KPWKM dan DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima skim insurans pekerjaan PERKESO serta penerima zakat atau baitulmal di Lembah Klang.
Tengku Zafrul berkata, permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui http://bkm.hasil.gov.my atau secara manual mulai 3 Januari di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau pejabat satelit LHDN atau Pusat Khidmat Hasil LHDN atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDN.
“Kerajaan kekal komited dalam memastikan bantuan yang disediakan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.