Berita Utama

‘UMNO pilihan terbaik untuk PAS masa ini’

Jangan sampai pertembungan bawa kemenangan ultra kiasu

BANGI, 27 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyarankan PAS memilih UMNO berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berpendapat bahawa PAS tidak boleh bersama dengan kedua-dua parti berkenaan serentak, memandangkan UMNO dan Bersatu sememangnya tidak boleh bersemuka, apatah lagi untuk bekerjasama buat masa ini.

Menurut Ridhuan Tee, pertembungan lebih tiga penjuru pasti akan berlaku dalam PRU15, jika PAS masih berdegil untuk bersama-sama dengan dua parti itu serentak.

“Kahwin dua secara serentak ini hodoh sangat bunyi. Jarang orang bermadu kahwin secara serentak, kecuali isteri pertama membenarkan.

“Kahwin satu dulu, bila dah aman baru kahwin dua. Satu pun masih berantakan, nak kahwin dua macam mana?,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan PAS supaya tidak membuat keputusan berkenaan kerana dibimbangi pertembungan melebihi tiga penjuru akan membawa kemenangan kepada ultra kiasu.

“Takut nanti formula kahwin dua tidak mendatangkan barakah. PAS perlu penasihat dan penganalisis politik yang benar-benar memahami realiti politik sebelum menyesal kemudian hari.

“Tanpa PAS, pastinya Bersatu akan goyang. Ketika itu tidak mustahil Bersatu mencari dahan berpaut. Tidak dinafikan PAS amat terhutang budi kepada Bersatu, terutama ketika Presiden Bersatu menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi dalam politik kena fahami satu formula, kill or be killed. Kadang kala tidak pilihan mesti pun nampak macam ada pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Muzakarah Majlis Syura PAS yang memutuskan untuk mempertahan Muafakat Nasional, dan pada masa sama memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

BACA LANJUT ULASAN PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH DI RUANGAN PENDAPAT ISMAWEB.NET

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button