Perjuangan NGO takkan terhenti, masih banyak isu belum selesai
Apa makna rintihan dan keluhan jika rakyat tidak bersedia untuk berubah?

TAHUN 2021 membawa pelbagai peristiwa yang serba mencabar kehidupan rakyat keseluruhannya.
Bukan sahaja kita berhadapan dengan COVID-19 dan ‘PKP’ yang masih tidak berkesudahan tetapi juga berlaku pertukaran dalam kepimpinan negara.
Ketika rakyat masih terpinga-pinga dengan ‘Booster Shots’ yang kini kita digambarkan keperluan untuk mendapatkan suntikan keempat memandangkan munculnya virus baru Omicron. Adakah ini satu manipulasi pihak tertentu bagi mengaut keuntungan atau memang benar-benar ia satu keperluan; kita tidak pasti. Saya harap ada ketelusan dalam hal ini.
Dari sudut politik pula, rata-rata rakyat sudah mual dengan permainan sumbang para politikus. Tetapi yang agak peliknya selepas dua PRN yang diadakan menampakkan rakyat seolah-olah sudah kembali kepada ‘status-quo’.
Walaupun menderita, apabila melihat pada pelbagai kepincangan dalam sistem demokrasi yang ada, namun rakyat masih tidak berani untuk mencuba sesuatu yang baharu. Dalam pelbagai media sosial seruan kepada perubahan sering diutarakan namun apabila berada di ‘peti undi’ ia tetap kembali kepada ‘asal’.
Jadi apa makna rintihan dan keluhan itu jika rakyat tidak bersedia untuk berubah? Oleh itu saya menyeru rakyat untuk benar-benar memikirkan secara mendalam pemimpin dan parti mana yang harus dipilih semasa PRU15 nanti agar nasib kita semua terbela.
Yang paling penting, dalam konteks perjuangan NGO, sebenarnya masih banyak perkara yang harus kita perjuangkan.
Isu alam sekitar, rasuah, kedudukan Mahkamah Syariah, pemerkasaan Bahasa Melayu, ekonomi Bumiputera yang semakin ketinggalan, kehilangan Tanah Rizab Melayu, usaha pengiktirafan UEC, pemerkasaan sekolah vernakular dan pelbagai lagi.
Saya sangat berharap rakyat dapat terus memberikan sokongan kepada kami dalam usaha-usaha membina sebuah bangsa yang dengan tamadun yang unggul.
Kami sangat-sangat memerlukan sokongan kerana tugas ini sangat berat dengan halangan yang tidak pernah habis dari pelbagai sudut dan pihak.
Namun saya sangat yakin kebenaran (haq) akan pasti tertegak walaupun dihalang oleh jutaan manusia kerana kebenaran itu adalah milik Allah, Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Berkuasa. KepadaNya kita berserah dan bertawakal kerana insan yang kerdil ini tidak mampu berbuat apa-apa tanpa pertolonganNya.
Sebenarnya ramai juga yang memberikan kata-kata sinis dengan ucapan; apa NGO boleh buat?
Saya sering menjawab dengan memetik kata-kata si burung pipit yang cuba memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim as yang mengambil air dengan paruhnya yang kecil;
“Memang ia tidak akan memadamkan api tersebut, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu ataupun tidak”.
Wallahu’alam.
Selamat menempuh tahun 2022 yang penuh dengan perjuangan ini dengan penuh keyakinan. Insya-Allah.
Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
2 Januari 2022