Britain uji pelan kontingensi sebelum berdepan senario terburuk kurang tenaga kerja
Perniagaan, perkhidmatan awam akan terganggu beberapa minggu lagi

LONDON, 28 Jamadilawal 1443H, Ahad – Kerajaan Britain meminta sektor awam menguji rancangan kontingensi sebagai persediaan berdepan senario terburuk – di mana 25 peratus kakitangan bakal berkurangan susulan penyebaran pesat varian COVID-19, Omicron.
Dengan jumlah jangkitan harian pada rekod tertinggi dan individu positif perlu mengasingkan diri sekurang-kurangnya tujuh hari, kerajaan menjangkakan perniagaan dan perkhidmatan awam akan menghadapi gangguan beberapa minggu akan datang.
“Setakat ini, gangguan yang disebabkan oleh Omicron telah dikawal di kebanyakan bahagian sektor awam.
“Namun pemimpin sektor awam telah diminta untuk menguji rancangan terhadap senario terburuk ketiadaan tenaga kerja sebanyak 10 peratus, 20 peratus dan 25 peratus,” katanya.
Perdana Menteri, Boris Johnson telah meminta menteri untuk bekerjasama rapat dengan sektor masing-masing untuk membangunkan pelan kontingensi yang mantap, kata Pejabat Kabinet, yang menyelaraskan usaha kerajaan.
Kesan Omicron terhadap tenaga kerja dalam rantaian bekalan, perkhidmatan awam dan sekolah sedang dipantau rapi, katanya.
“Terdapat usaha berterusan untuk mengenal pasti perubahan peraturan, dasar atau operasi yang berpotensi yang boleh meminimumkan atau mengurangkan potensi gangguan,” kata Pejabat Kabinet.
Jumlah harian jangkitan baharu COVID-19 di seluruh United Kingdom meningkat kepada 189,846 pada hari Jumaat, jauh lebih tinggi berbanding semasa kemuncak sebelumnya.
Bagaimanapun, kemasukan ke hospital dan kematian kekal pada tahap yang jauh lebih rendah daripada gelombang sebelumnya. – Agensi