Berita UtamaDunia

Yaman digesa benarkan kemasukan peralatan baharu ke lapangan terbang

Keupayaan komunikasi dan navigasi musnah selepas serangan

SANAA, 28 Jamadilawal 1443H, Ahad – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa membenarkan kemasukan peralatan komunikasi ke lapangan terbang di ibu kota dikuasai pemberontak, Sanaa.

Penyelaras Kemanusiaan PBB Yaman, David Gressly berkata, penutupan lapangan terbang kepada penerbangan kemanusiaan sangat menjejaskan operasi bantuan ketika ini.

“Justeru, saya sangat bimbang berlaku gangguan selanjutnya,” katanya.

Gressly mengalu-alukan pembukaan semula lapangan terbang itu, tetapi berkata, peralatan komunikasi di sana sudah rosak.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan Meteorologi (CAMA) di Sanaa menganggap peralatan itu sudah usang,” katanya.

Yaman dilanda perang saudara sejak tahun 2014, kerajaan yang disokong oleh pakatan diketuai Arab Saudi menentang Houthi disokong Iran.

Penerbangan ke ibu negara sebahagian besarnya dihentikan oleh sekatan yang diketuai Arab Saudi sejak Ogos 2016, namun terdapat pengecualian untuk penerbangan bantuan, yang juga talian hayat utama bagi penduduk.

Bagaimanapun lapangan terbang Sanaa ditutup selama beberapa hari pada Disember selepas pakatan itu menyerang dan mendakwa Houthi menggunakan kawasan itu untuk melancarkan peluru berpandu dan dron ke Arab Saudi.

Serangan udara itu dilapor memusnahkan keupayaan komunikasi dan navigasi.

Houthi membuka semula lapangan terbang itu pada 27 Disember lepas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button