Kolumnis

PAS kekal mahu kawin dua serentak

Pertandingan lebih tiga penjuru tak dapat dielakkan dalam PRU15

PENYATUAN yang jauh, tidak hadirkan kuasa, berbanding kemenangan yang dekat hadirkan kuasa.

Selepas Majlis Syura Ulamak PAS membuat keputusan, semalam Presiden PAS membuat keputusan yang sama, PAS tetap akan bersama MN dan mempertahankan PN,.

Atas alasan, PAS tidak boleh hanya menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO bagi memecahkan fahaman asabiah.

Saya tidak nampak di mana asabiahnya, kerana bersama UMNO, ada MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN)

Begitu juga PN, selain PPBM, ada Gerakan. Jadi, saya tidak nampak di mana asabiahnya, jika bersama MN, melainkan asabiah buatan sendiri.

Keputusan ini sudah tentu tidak disenangi oleh UMNO, dan tidak ketinggalan beberapa pimpinan PAS.

UMNO sudah membuat keputusan, kesemua kerusi yang dimenangi dalam PRU14 lalu, tetap akan dipertahankan. UMNO tidak akan memberi laluan kepada PPBM, kerusi yang asal menjadi miliknya, dimenangi, kemudian terlepas disebabkan oleh lompatan yang berlaku.

Seingat saya, pemimpin PN sudah pun mengeluarkan kenyataan akan bertanding semua kerusi yang ditandingi UMNO.

Apa yang boleh dimainkan oleh PAS di situ? Pertandingan lebih tiga penjuru memang tidak dapat dielakkan dalam PRU15, termasuk negeri-negeri ‘kuat PAS’ seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Asabiah apa yang ingin dipecahkan?

Apakah PAS ada kuasa ajaib untuk menyatukan kedua-dua parti ini, sedangkan PAS sendiri tidak mampu dalam mempertahankan MN itu sendiri. UMNO menyalahkan PAS. PAS menyalahkan UMNO dalam soal memperkasakan MN.

Seperti analogi saya sebelum ini, jika kahwin satu masih berantakan, bagaimana boleh berkahwin dua secara serentak.

Ingatan saya, penyatuan yang jauh yang tidak menghadirkan kuasa. Tetapi kemenangan yang lebih dekat menghadirkan kuasa.

Jangan terlalu berfatamorgana dengan mimpi perpaduan atau penyatuan, kerana adalah mustahil kita dapat memuaskan hati semua pihak. Mimpi penyatuan dan perpaduan boleh menjadi realiti setelah ada kuasa.

PAS kena faham, yang penting adalah, al ghalabah yang dalam politik demokrasi banyak ditentukan oleh jumlah dan kuantiti. Bukan soal nak menjaga hati semua orang. Jangan jadi Pak Andir dan Mak Andir yang berdayung ke majlis kenduri. Akhirnya, ke hulu tak dapat, ke hilir melepas.

Al-Ghalabah makna biasa ialah kalah, tersalah, tewas, terlanjur atau juga silap. Dalam kata lain, tersilap atau terlanjur.

Realiti politik hari ini, kesilapan dalam membuat keputusan akan memberikan kesan yang mendalam terhadap agama, bangsa dan negara. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Tidak mustahil al-ghalabah atau kesilapan atau keterlanjuran mungkin berlaku kepada PAS dalam membuat percaturan politik.

Begitu juga dengan UMNO, selepas tiga PRN berlalu, Sabah, Melaka dan Sarawak, mula merasakan dirinya kuat, tidak perlu lagi kepada rakan lain. Mahu bergerak solo. Jangan terlalu yakin.

PRN dan PRU berbeza. PRN memilih ketua negeri. Tetapi PRU, cenderung kepada kerajaan Persekutuan atau Putrajaya. Kerusi DUN berbeza dengan kerusi Parlimen. Ultra kiasu lebih mengidamkan kerusi Parlimen daripada DUN.

Rakyat sedang menilai semua percaturan ini.

Apa yang ingin saya ingatkan di sini bahawa kita tidak terlepas dari terjatuh pada kesalahan dan ketelanjuran, dengan tidak sengaja. Kesilapan dan ketelanjuran dengan tidak sengaja seharusnya memberi kesedaran seseorang agar sentiasa waspada supaya tidak terjatuh di dalam kesilapan.

Adakah maslahah itu PAS bersama PPBM atas nama perpaduan, yang makin dilihat merugikan Melayu memandang kepada realiti politik hari ini?

Atau PAS bersama UMNO yang memungkinkan kemenangan lebih jelas dan mengurangkan cengkaman MCA dan MIC ke atas UMNO? UMNO hari ini terlalu kemaruk untuk kelihatan berwarna sehingga mula ‘tunduk’ kepada MCA terutamanya.

UMNO sudah bersetuju memberikan kerusi tradisi, termasuk kawasan majoriti besar Melayu kepada MCA.

Dengan PAS Bersama UMNO, dapat juga mengekang perangai MCA dan MIC, yang merasakan dirinya mula kuat, kononnya sokongan Cina sudah kembali, wal hal sebenarnya tidak. Sekadar strategi licik untuk kepentingan mereka. Jika benar pun sokongan Cina telah beralih kepada MCA, dan MCA menang banyak kerusi, itu semakin menggugat kedudukan UMNO.

Ingat, jika berlaku pertandingan tiga penjuru, jangan harap akan dapat kemenangan dua pertiga dalam parlimen. Menang dengan majoriti sedikit, kedudukan saling tidak tumpah akan berlaku seperti hari ini. Tidak stabil.

Saya fikir, elok PAS fokus beberapa negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah, yang menjadi tapaknya sekian lama. Boleh juga intai Pahang dan Selangor.

Tetapi bagi negeri-negeri lain, PAS tidak perlu campur tangan. Biarkan UMNO dan PPBM bertembung sesama mereka. Itu lebih selamat untuk PAS.

Namun, jika UMNO memberikan laluan kepada MCA atau PN serahkan Gerakan bertanding di kawasan majoriti besar Melayu, ketika itu PAS usah hirau lagi rakan sepakatan. Terus masuk bertanding. Peluang PAS untuk menang amat cerah.

Saya tidak nafikan kebimbangan PAS dalam membuat keputusan berkahwin serentak. Dalam politik, ketakutan tetap ada. Jika memilih MN, takut dikhianati UMNO kerana UMNO masih belum berubah sepenuhnya. UMNO kembali perangai asal. Perkara ini tidak mustahil berlaku, melihat kepada kepada gelagat dan kerakusan beberapa pimpinan mereka. Begitu juga kes-kes yang masih dibicarakan.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button