Berita UtamaDunia

2 pegawai kanan di China dilucut jawatan ekoran kes baharu COVID-19

Puluhan pegawai dihukum kerana tak cukup tegas kawal wabak

BEIJING, 29 Jamadilawal 1443H, Isnin – Pihak berkuasa tempatan China memecat dua pegawai kanan susulan kes baharu COVID-19 di bandar Xi’an.

Dua pegawai kanan Parti Komunis dari daerah Yanta itu telah disingkirkan daripada jawatan mereka, menurut media tempatan, dalam sasaran untuk ‘mempergiatkan usaha pencegahan dan kawalan wabak’ di kawasan itu.

Bulan lalu, badan disiplin China mengumumkan bahawa berpuluh-puluh pegawai telah dihukum kerana ‘tidak cukup ketegasan dalam mencegah dan mengawal wabak’.

Beijing telah melaksanakan pendekatan ‘sifar COVID’ dengan sekatan sempadan yang ketat dan sekatan yang disasarkan sejak virus itu mula-mula muncul, tetapi strategi ini telah mendapat tekanan dengan kewujudan wabak tempatan baru-baru ini.

Bandar utara Xi’an, telah menjadi pusat penyebaran terbaharu dengan pihak berkuasa mengarahkan semua 13 juta penduduk tinggal di rumah dan melaksanakan beberapa kali ujian besar-besaran dalam minggu ini.

Xi’an melaporkan 90 kes virus tempatan baharu pada hari Isnin, turun daripada 122 kes sehari sebelumnya. Sejak 9 Disember, terdapat lebih 1,600 kes virus dilaporkan di bandar itu.

Sementara itu, penduduk tempatan memberitahu media dalam beberapa hari kebelakangan ini bahawa mereka bergelut untuk mencari bekalan makanan yang mencukupi, walaupun pihak berkuasa China mendakwa mereka bekerja untuk memastikan bekalan stabil.

Walaupun kes COVID-19 yang dilaporkan di China adalah rendah berbanding tempat lain, jangkitan baharu dalam beberapa hari kebelakangan ini telah mencapai tahap tertinggi yang tidak pernah dilihat di negara itu sejak Mac 2020.

Lonjakan itu berlaku ketika Beijing bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button